Keupayaan skuad Harimau Malaya bakal diuji pada September nanti apabila skuad kendalian Kim Pan-gon itu dilaporkan akan terbang ke Thailand untuk menghadapi Kejohanan Persahabatan 4 Penjuru pada September nanti.

Perkembangan terkini itu disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi sebentar tadi.

Menurut Yusoff, skuad negara yang melakar kejayaan manis layak ke Piala Asia 2023 selepas menundukkan Turkmenistan dan Bangladesh pada aksi kelayakan tempoh hari telah mendapat jemputan untuk menyertai kejohanan tersebut.

Meskipun masih tiada kepastian mengenai tiga lagi negara yang turut akan beraksi di negara jiran itu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menegaskan ia akan melibatkan pasukan di ranking lebih tinggi daripada skuad negara.

Malah, berkemungkinan juga pasukan dari Asia Tengah dan Amerika Latin akan turut menyertai kejohanan jemputan tersebut.

Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad meraikan jaringan buat Harimau Malaya. Kredit Foto: Syamil Rosli | PFA Malaysia

“Untuk pasukan [senior] kebangsaan, kita juga telah mengatur beberapa perancangan yang pertamanya kita akan memulakan latihan berpusat pada 15 hingga 27 September ini,” ujar Yusoff bercakap dalam sidang media di Wisma FAM.

“Pada September ini kita akan menyertai satu pertandingan di Thailand, pertandingan yang dinamakan Kejohanan Persahabatan 4 Penjuru pada 22 hingga 25 September.”

“Tempatnya ada dua lokasi yang dicadangkan tetapi masih belum dapat dipastikan sama ada di Hatyai atau Pattaya. Jadi, kita menunggu keputusan itu. Tetapi, apa-apapun memang pasukan kita telah dijemput dan kita akan menyertai kejohanan 4 penjuru di Thailand itu nanti.”

“Selain daripada itu, pada November kita masih ada ‘FIFA Date’ dimana pasukan negara akan mengadakan perlawanan persahabatan yang berkemungkinan di dalam negara.”

“Tentu sekali perlawanan-perlawanan persahabatan itu diadakan bagi kita mempersiapkan pasukan untuk menghadapi AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 yang dijangka berlangsung pada 21 Disember hingga 17 Januari 2023,” tambah Yusoff lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Barca Sedia Sailang Chelsea Beli Kounde Selepas Dapat Suntikan Dana Kedua

PJ City Tetap Guna Anak Tempatan 100 Peratus Tanpa Kelibat 9 Pemain Import

‘Messi Thailand’ Akhirnya Bertemu Messi Yang Sebenar