Minggu lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon akan terbang ke Thailand untuk menghadapi Kejohanan Persahabatan 4 Penjuru pada bulan September nanti.

Persoalan peminat mengenai lokasi perlawanan akhirnya terjawab apabila sebuah portal sukan dari Thailand, SMM Sport melaporkan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah memilih Chiang Mai sebagai tuan rumah Kejohanan tersebut yang dikenali sebagai King’s Cup.

“FAT mengumumkan wilayah Chiang Mai sebagai tuan rumah untuk perlawanan antarabangsa FIFA pada bulan September kerana kawasan itu dilihat lebih bersedia. Stadium 700 Year Chiang Mai dipilih sebagai venue perlawanan,” tulis laporan tersebut.

Polisi FAT kali ini mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di luar ibu kota, Bangkok. Ini kerana mereka mahu memberi peluang kepada rakyat di setiap wilayah untuk menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan.

Selain Thailand dan Malaysia, dua lagi negara yang berada di ranking FIFA lebih tinggi dijangka akan menyertai Kejohanan itu. Malah, berkemungkinan juga pasukan dari Asia Tengah dan Amerika Latin.

Selepas berjaya membantu negara layak ke Piala Asia 2023 secara merit bulan lalu, para pemain skuad Harimau Malaya akan kembali berkumpul dalam kem latihan pusat mulai 15 September 2022 sebelum menyertai King’s Cup pada 22 hingga 25 September 2022.

Saingan King’s Cup dijalankan dalam format kalah mati. Pasukan yang menang akan mara ke final manakala pasukan yang kalah akan berentap untuk penentuan tempat ketiga. Setiap keputusan perlawanan akan memberi pulangan mata ranking FIFA.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah muncul juara dalam empat edisi King’s Cup iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Kejohanan tersebut dijadikan medan terbaik untuk menguji taktikal Kim Pan-gon berdepan lawan yang lebih kuat dan juga sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang dijangka berlangsung pada 21 Disember hingga 17 Januari 2023.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

FAM Umum Senarai 28 Pemain Muda Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia B-16

Kim Dong-jin Bakal Jurulatih Baharu Skuad Malaysia B-23?

Christophe Gamel Sedia Isi Jawatan Ketua Jurulatih Skuad B-23 Malaysia