Mulai bulan April, para peminat bola sepak tempatan dibenarkan memasuki stadium untuk menonton perlawanan Liga Malaysia musim ini setelah mendapat kebenaran rasmi daripada pihak kerajaan.

Bagaimanapun, laporan daripada Berita Harian semalam membayangkan kemungkinan harga tiket perlawanan terpaksa dinaikkan untuk menampung kos tambahan pasukan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Antaranya ialah kos penyediaan pengimbas suhu di pintu masuk stadium, serta gel pensanitasi tangan, tenaga kerja tambahan, dan juga caj bayaran sistem jualan tiket dalam talian (online).

“Berdasarkan SOP yang perlu dipatuhi dimana ia memerlukan tambahan tenaga kerja dan sebagainya, sudah pasti kos akan bertambah dan kemungkinan kita terpaksa menaikkan sedikit harga tiket perlawanan.

“Tetapi kenaikan harganya itu bergantung, mungkin RM5 ke RM10. Apa yang pasti, penyokong tidak perlu bimbang kerana semua tiket diperuntukkan adalah untuk pasukan tuan rumah,” kata CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.

WhatsApp Image 2021-03-22 at 9.31.27 PM
Petikan berita daripada Berita Harian

Namun begitu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap harga tiket kekal kerana keutamaan ketika ini adalah untuk menyakinkan penyokong mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Soal kenaikan harga tidak menjadi perbincangan sekarang ini dan kalau ada perubahan pada tiket perlawanan, pada saya biarlah harga tiket itu kekal seperti sedia ada,” katanya.

Para peminat bola sepak tempatan sudah tentu tidak sabar memasuki stadium setelah hampir setahun tidak dapat hadir untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka ekoran pandemik COVID-19.

Hanya 10% atau 2,000 penonton dibenarkan masuk untuk kawasan PKPB dan 25% atau 8,000 penonton untuk kawasan PKPP.

Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Bola Sepak Cheras akan menjadi dua venue terawal yang menerima kehadiran semula penonton sebagai percubaan bagi menilai keberkesanan protokol pengurusan.

Selain itu, golongan warga emas dan kanak-kanak juga tidak digalakkan hadir ke stadium kerana mereka merupakan golongan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Adakah Penalti Ke-2 JDT Sepatutnya ‘Retake’, Kedudukan Kaki Khairulazhan Jadi Tanda Tanya.

Faktor Utama Mengapa Thomas Dooley “Direhatkan” Sebagai Pengendali Sri Pahang

Adam Reed ‘Balik Kampung’ Sertai United City