Penyerang muda negara, Muhammad Haqimi Azim Rosli mengakui banyak lagi yang perlu dipelajarinya walaupun mampu memberikan sumbangan berkesan ketika pertemuan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 antara Malaysia dan Laos, malam tadi.

Dimasukkan pada minit ke-71 selepas menggantikan Faisal Halim, pemain berusia 19 tahun itu tidak menunggu lama untuk membuktikan kemampuannya hasil jaringan menerusi percubaan voli berselang enam minit kemudian.

Haqimi kemudiannya mencipta bantuan kepada jaringan kelima yang dihasilkan oleh seorang lagi pemain gantian, Stuart John Wilkin.

Sehubungan dengan itu, Haqimi menganggap ia sebagai permulaan buatnya dan tidak mahu terbuai dengan prestasi baik tersebut.

“Saya sangat berbangga pada penampilan sulung dengan satu gol dan satu bantuan jaringan untuk skuad senior,” ujar Haqimi bercakap kepada wakil Vocket FC selepas perlawanan malam tadi.

“Saya tunggu lama peluang ini untuk bermain, Alhamdulillah hari ini saya diberikan peluang beraksi. Terima kasih kepada ‘coach’ Kim Pan-gon dapat beri saya peluang minit perlawanan. Saya berikan 100 peratus komitmen dalam padang tadi.”

“InsyaAllah jika ada rezeki saya lagi dan diberikan peluang beraksi di Vietnam nanti saya akan cuba sehabis baik dengan apa yang saya mampu untuk membantu pasukan.”

“Saya tak menjangkakan semua ini [diberikan peluang beraksi] tetapi sentiasa bersedia daripada segenap aspek.”

“Contohnya walaupun tidak diturunkan pada malam ini, saya tidak kecewa, masih banyak lagi perlawanan untuk dihadapi dan saya juga masih muda. Masih jauh lagi perjalanan saya dan saya percaya rezeki itu ada dimana-mana.”

“Saya amat berbangga dengan pencapaian saya sekarang [menjaringkan gol] tetapi tidak boleh terlalu bangga dengan diri saya kerana saya masih muda, baru berusia 19 tahun. Masih panjang lagi perjalanan saya.”

“Saya perlu banyak belajar daripada abang-abang [pemain senior] saya dan jurulatih juga banyak mengajar saya dari segi penyudah,” tambah Haqimi Azim lagi.