Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai nama 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, E. Elavarasan untuk menyertai kem latihan pusat bermula 18 Mac 2023 bagi menghadapi kejohanan Piala Merlion 2023 Singapura.

Skuad B-22 kebangsaan akan menjalani latihan harian di sepanjang kem latihan pusat kali ini di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya sebelum berlepas ke Singapura pada Khamis 23 Mac 2023.

Pasukan ini turut diperkuatkan oleh 4 pemain yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya ketika Piala AFF 2022 iaitu Mukhairi Ajmal, Ruventhiran, Haqimi Azim dan Azam Azmi Murad.

Skuad B-22 negara telah diundi bertemu Kemboja B-22 bagi aksi pertama Piala Merlion 2023 di Stadium Jalan Besar Singapura, 24 Mac 2023 manakala satu lagi perlawanan menemukan tuan rumah, Singapura B-22 dan Hong Kong B-22

Final dan penentuan tempat ke-3/4 akan berlangsung pada Ahad, 26 Mac 2023.

Berdasarkan rekod, skuad Singapura kendalian Fandi Ahmad menjuarai Piala Merlion pada tahun 2019 yang menampilkan pasukan Thailand, Indonesia dan Filipina.

Skuad Singa Muda itu menewaskan Thailand 1-0 dalam perlawanan akhir dengan Ikhsan Fandi menjaringkan gol kemenangan.

Kejohanan Merlion 2023 dijadikan persiapan skuad kendalian Elavarasan bagi menghadapi kejohanan bola sepak Sukan SEA 2023 Cambodia yang bakal membuka tirai pada 29 April 2023 hingga 15 Mei 2023.

Difahamkan, peraturan pertandingan bola sepak Sukan SEA 2023 telah menggunakan format umur iaitu bawah 22 tahun sahaja dibenarkan bermain termasuk dua kuota pemain lebih umur dalam kejohanan serantau tersebut.

Peraturan tersebut pastinya akan memberikan ruang kepada ramai pemain muda lain untuk diberikan peluang membarisi skuad negara pada edisi kali ini.

Selain itu, mereka juga akan menghadapi kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun 2024 pada September dan Sukan Asia di Hangzhou dari 23 September hingga 8 Oktober.