Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Kevin Ramalingam menyifatkan cadangan untuk mempunyai 16 pasukan dalam saingan Liga Super adalah mustahil untuk dilaksanakan ketika ini kerana masih banyak pasukan tidak mempunyai kantung kewangan yang kukuh.

Katanya dalam Arena Metro, setakat ini hanya 6 pasukan sahaja yang benar-benar menepati kriteria untuk beraksi dalam Liga Super kerana mempunyai perancangan yang jitu dan sistem pengurusan yang baik.

Bagaimanapun, Kevin tidak melabelkan pasukan lain sebagai gagal cuma mereka masih mempunyai masalah tertentu seperti isu tunggakan gaji pemain, hal dokumentasi, hukuman denda dan lain-lain.

Tiga Pasukan
Sumber Gambar: MFL

“Saya tidak mengatakan pasukan terbabit tidak cukup bagus cuma jika mahu mencapai tahap Liga Super perlu mempunyai struktur kewangan kukuh, jalinan kuat bersama penyokong mereka, kemudahan lengkap dan mampu menjana pendapatan sendiri.

“Sekarang ini, hanya ada enam pasukan saja yang memenuhi kriteria terbabit dan selebihnya mempunyai masalah tertentu. Jadi bagaimana mahu mencari 16 pasukan untuk saingan Liga Super.

“Ada juga pasukan Liga Super yang dihadiri 200 hingga 300 penyokong saja sekali gus melihat hubungan bersama peminat masih lagi kurang memuaskan,” katanya.

Difahamkan enam pasukan tersebut ialah JDT, Pahang, Kedah, Selangor, Perak dan Melaka United dan kesemuanya kini menduduki kedudukan 6 teratas Liga Super.

Beliau juga menyeru setiap pasukan mula mencari dana sendiri tanpa mengharapkan sumbangan daripada kerajaan negeri atau pembayaran geran geran tahunan daripada MFL.

Bulan lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menubuhkan Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional yang diberi peranan untuk memastikan semua pasukan Liga Malaysia mempunyai sebuah organisasi kelab yang berlesen bermula pada musim 2021.

Tujuannya adalah untuk memastikan setiap ahli gabungannya mempunyai asas kukuh dari semua segi tadbir urus termasuk kewangan, maklumat pembangunan teknikal dan belia serta pemasaran selaras Pelan Hala Tuju FAM 2019-2030 atau F:30.

Sumber