Malaysian Football League (MFL) mengesahkan hanya lima daripada tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji telah menyerahkan dokumen kewangan seperti yang dituntut pada tarikh akhir hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd yang sekali lagi memberikan peringatan kepada pasukan-pasukan yang terlibat dalam masalah tunggakan gaji agar lebih serius dalam usaha menangani krisis masalah kewangan bagi mengharungi Liga Malaysia 2019.

“Seperti semua pasukan tersebut sedia maklum, hari ini adalah tarikh tutup untuk ketujuh-tujuh pasukan itu mengemukakan bukti-bukti bayaran yang sudah dibuat dan setakat jam 5 petang hari ini hanya lima pasukan saja yang sudah menyerahkan dokumen.

“Sekretariat MFL akan membuat semakan lebih terperinci sama ada dokumen yang dihantar itu lengkap seperti mana yang kita nak tapi lagi dua pasukan setakat ini belum menyerahkan dokumen yang kita mahukan.

“Kita sudah memberi ruang dan masa secukupnya kepada setiap pasukan mengumpul segala dokumen dan menyerahkan kepada MFL hari ini dan saya percaya semua pasukan sedia maklum dengan peraturan ini,” katanya.

Bagaimanapun Shazli enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang akan diambil ke atas pasukan yang gagal menghantar dokumen kewangan atau menyerahkan dokumen tidak lengkap kepada MFL hari ini.

Ini memandangkan sebarang tindakan akan diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk diputuskan.

“Amalan MFL sebelum ini, semua sudah sedia maklum impaknya di mana ia mungkin akan memberi kesan kepada geran tahunan yang akan kita berikan kepada setiap pasukan iaitu RM3 juta kepada pasukan unifi Liga Super dan RM1 juta kepada pasukan Liga Premier.

“Jika perkara ini gagal, salah satu penalti yang akan kita gunakan adalah pemotongan geran dan selebihnya akan diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat keputusan,” katanya.

Bagaimanapun, Shazli menegaskan bahawa tahap kesedaran pasukan Liga Malaysia mengenai kepentingan untuk mematuhi peraturan semakin baik berbanding sebelum ini.

“Ada sedikit penambahbaikan berbanding tahun-tahun sebelum ini banyak isu yang terlibat bukan setakat dokumen kewangan malah dokumen lain juga gagal dipenuhi.

“MFL berharap semua pasukan dapat mengemukakan dokumen kerana semua sedia maklum setiap pasukan adalah rakan kongsi kita, kita seboleh-bolehnya ingin membantu mereka tetapi ia juga ada hadnya.

“Kita tak boleh sewenang-wenang menerima pasukan yang tidak mematuhi peraturan untuk terus bersenang-senang di dalam liga, kita perlu sedikit pemahaman mengenai penguatkuasaan undang-undang supaya selepas ini mereka akan lebih faham,” tambahnya.