Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan hanya 4 negara menghantar permohonan rasmi untuk membida hak sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.

Bidaan menganjurkan Piala Asia 2023 telah dibuka kepada semua anggota persatuan sejak 31 Mei lalu bagi menggantikan tempat China yang menarik diri kerana peningkatan kes COVID-19.

Empat Anggota Persatuan (MA) yang telah mengesahkan permohonan tersebut ialah Federasi Bola Sepak Australia (FFA), Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA).

Tempoh akhir menghantar permohonan rasmi sebagai tuan rumah Piala Asia 2023 sepatutnya pada 30 Jun ini namun AFC mengumumkan ia telah dilanjutkan sehingga 15 Julai bagi membolehkan mereka meneliti setiap permohonan daripada negara anggota.

Korea Selatan dan Qatar dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk dipilih sebagai tuan rumah kerana mempunyai fasiliti yang lengkap serta kemudahan padang bola sepak yang berkelas dunia.

Menurut kenyataan rasmi AFC, negara yang dipilih sebagai tuan rumah kejohanan yang melibatkan 24 pasukan itu akan diumumkan secara rasmi pada 17 Oktober 2022 oleh Jawatankuasa Eksekutif AFC.

Bagi acara undian pula, belum ada tarikh yang ditetapkan tetapi kebiasaannya akan dilakukan lima atau enam bulan sebelum pertandingan berlangsung.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Piala Asia 2023 melalui pautan dibawah.

Indonesia Berminat Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2023

Australia Sedia Jadi Tuan Rumah Piala Asia Dengan Syarat AFC Anjak Ke Tahun 2024

Korea Selatan Hantar Permohonan Rasmi Bida Hak Tuan Rumah Piala Asia 2023