Bulan lepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Felda United dan UKM FC telah gagal dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat berikutan kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian kedua-dua pasukan ini bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.

Malah, rayuan yang dikemukakan oleh Felda United dan UKM FC berhubung status pasukan untuk musim depan telah ditolak oleh FAM setelah mendapati dokumentasi dan kedudukan kewangan mereka tidak cukup menyakinkan.

Oleh sebab itu, dua pasukan tersebut tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan dan hanya 10 pasukan sahaja yang akan bertanding dalam Liga Premier 2021.

“MFL hanya mengikut protokol dalam saingan liga. Disebabkan Felda United dan UKM FC tidak melepasi syarat yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), maka mereka tidak boleh bermain dalam Liga Premier musim depan

“Jadi saingan Liga Premier musim depan hanya akan ada 10 pasukan dan di peringkat MFL selaku badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M), kami akur dengan apa yang telah ditetapkan FAM,” katanya Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dipetik dalam Sinar Harian.

Namun begitu, dua pasukan ini masih dibenarkan beraksi dalam saingan Liga M3 dan Felda United difahamkan akan menggunakan nama baharu iaitu Rakyat United.

Mereka boleh kembali ke Liga Premier jika berjaya muncul sebagai juara dan naib juara dalam saingan Liga M3 pada tahun depan.

“Protokol itu apabila dengan pasukan Liga M3 yang menjadi johan dan naib johan yang akan layak ke saingan Liga Premier musim berikutnya. Disebabkan Liga M3 tiada tahun ini, maka tiada pasukan akan ‘naik’ dan Liga Premier musim depan hanya 10 pasukan.

“Felda United dan UKM FC boleh kembali bermain dalam Liga Premier pada tahun akan datang. Tetapi syaratnya kena bermain dalam Liga M3 terlebih dulu dan melengkapkan proses penswastaan untuk melayakkan mereka bermain dalam Liga Premier,” jelasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Frank Bernhardt Sambung Dua Lagi ‘Semester’ Dengan UiTM FC

Kedah Semakin Hampir Lengkapkan Perpindahan Rabih Ataya

Selepas 5 Tahun, Rozaimi Sah Tinggalkan JDT

Herold Goulon Kekal Bersama Pahang Musim Hadapan