Kelab Vietnam, Hanoi FC mencipta sejarah apabila menjadi kelab dari Asia Tenggara pertama mara ke play-off Final Inter-Zone Piala AFC sejak kejohanan itu menggunakan format baharu setelah menewaskan kelab dari Turkmenistan, Altyn Asyr pada perlawanan peringkat separuh akhir play-off Inter-Zone dengan keputusan 5-4 secara agregat.

Selepas memenangi perlawanan pertama dengan keputusan 3-2, Hanoi hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke play-off Final Inter-Zone. Ketua pasukan Hanoi, Nguyen Van Quyet menjadi wira pasukan apabila beliau menjaringkan dua gol pada perlawanan kedua sekaligus memastikan kelab yang diwakilinya sejak 2011 itu mara ke perlawanan akhir.

Van Quyet membuka tirai jaringan seawal minit ke-15 apabila beliau melakukan percubaan dari dalam kawasan penalti setelah pertahanan Altyn gagal mengeluarkan bola.

Altyn kemudiannya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Serdar Geldiyew setelah rakan sepasukan, Resul Hojayew dijatuhkan dalam kotak penalti. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-1. Memasuki separuh masa kedua, Hanoi kembali berada di hadapan menerusi tandukan Van Quyet pada minit ke-51.

Altyn merupakan juara liga divisyen pertama Turkmenistan iaitu Ýokary Liga musim 2019 kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Serdar Geldiyew pada minit ke-82. Namun jaringan tersebut tidak cukup untuk menghapus kelehihan yang dimiliki oleh Hanoi FC sekaligus kelab Vietnam itu mara ke play-off Final Inter-Zone.

Untuk makluman, Piala AFC menggunakan format baharu sejak 2017 dimana 36 pasukan yang bertanding dibahagikan kepada lima zon iaitu;

• Zon Asia Barat : 12 pasukan (3 kumpulan)
• Zon ASEAN : 12 pasukan (3 kumpulan)
• Zon Asia Tengah : 4 pasukan (1 kumpulan)
• Zon Asia Timur : 4 pasukan (1 kumpulan)
• Zon Asia Selatan : 4 pasukan (1 kumpulan)

Juara setiap kumpulan dan satu naib juara kumpulan (dikira mengikut pungutan mata) akan melalui perlawanan separuh akhir peringkat Zon ASEAN. Juara Zon ASEAN pula akan bersaing sama ada dengan juara Zon Asia Tengah, Zon Asia Timur atau Zon Asia Selatan untuk merebut satu tempat ke perlawanan akhir Piala AFC bertemu juara Zon Asia Barat.

Hanoi FC kini menanti pemenang perlawanan antara kelab Bangladesh, Abahani Limited Dhaka menentang kelab dari Korea Utara, April 25 Sports Club bagi mengharungi perlawanan play-off Final Inter-Zone. Pemenang play-off Final Inter-Zone akan mara ke satu lagi perlawanan akhir bagi menentukan juara keseluruhan Piala AFC musim ini.

Anda boleh membaca artikel berkaitan bola sepak Asia Tenggara di sini:

16 Venue Piala Dunia 2034 Di Asean Yang Boleh Dicadangkan Oleh AFF Kepada FIFA

Liga Malaysia Berpotensi Muncul Sebagai Liga Terbaik Asean