Nasib pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn yang terpalit dengan kontroversi berhubung komen berbaur perkauman yang dikeluarkannya baru-baru ini sudah pun diketahui.

Sebagai hukuman atas kekhilafan yang dilakukan, Hanis telah digantung daripada tugasan skuad kebangsaan dalam mana-mana aksi di peringkat antarabangsa dan tidak terkecuali pada temasya Sukan SEA 2023 yang bakal berlangsung di Kemboja, Mei nanti.

Keputusan sebulat suara itu dicapai selepas Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah bermesyuarat pada dua hari lalu.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebentar tadi, mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Dato’ Seri Subahan Kamal yang merupakan Presiden KHM.

Difahamkan, Hanis Nadiah yang akan membawa cabaran Negeri Sembilan pada aksi Piala Sumbangsih kempen Liga Hoki Malaysia 2023, petang ini turut dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan tersebut.

“Hasil daripada sesi temubual dan setelh memperhalusi beberapa dapatan lain berhubung isu berkenaan, Jawatankuasa Siasatan telah merumuskan bahawa Hanis telah memuatnaik ciapan komen yang berbaur perkauman kerana komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India.”

“Sehubungan itu, Jawatankuasa mendapati Hanis telah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.”

“Hanis juga didapati bersalah kerana membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM.”

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023.”

“Pihak KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut,” menurut kenyataan rasmi dikeluarkan KBS.