Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengesahkan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) tidak berminat memegang apa-apa jawatan termasuk pengurus baharu Harimau Malaya.

Dalam satu temubual bersama media hari ini, Hamidin mengatakan TMJ tetap mahu menyumbang untuk bantu skuad Harimau Malaya dalam persiapan menghadapi Piala Asia 2023 tahun depan.

Hasrat itu dizahirkan ketika pertemuan TMJ bersama Hamidin dan Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon di Ibu pejabat JDT, beberapa hari lepas.

“Saya dijemput bersama Pan-gon untuk ke Johor bagi menghadap Tunku Ismail yang mahu mendengar dan menyampaikan ucapan tahniah di atas pelantikan dalam FIFA.

“Jadi dalam pertemuan itu, beliau cakap tak berminat untuk ambil apa-apa jawatan termasuk pengurus. Saya (TMJ) nak lebih kepada komitmen untuk bantu pasukan kebangsaan dari belakang.

“Beliau nak bantu pasukan kita termasuk dalam persiapan ke Piala Asia ini,” jelas Hamidin.

Sumbangan TMJ kepada pasukan Harimau Malaya jelas cukup besar apabila baru-baru ini telah memperuntukkan peralatan kecergasan untuk meningkatkan kualiti skuad kebangsaan.

Malah, TMJ juga sempat turun ke padang latihan di Wisma FAM pada 6 januari lepas untuk memberikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum skuad Harimau Malaya menghadapi perlawanan separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric menentang Thailand.

Selain itu, Johor Bahru bakal jadi lokasi kem latihan pusat skuad Harimau Malaya untuk bulan Mac ini sebagai persediaan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa di gelanggang keramat JDT, Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Ia adalah venue sementara kerana Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal ditutup untuk kerja-kerja penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput lembu (cow grass) bermula pada bulan depan.

“Beliau (TMJ) juga nak bantu kalau stadium itu (Stadium Nasional Bukit Jalil) tak boleh nak guna dan boleh pakai Stadium Sultan Ibrahim sementara nak tunggu Bukit Jalil siap sepenuhnya,” tambah Hamidin.

SSI yang berkapasiti 40,000 dilihat sebagai lokasi paling sesuai untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa kerana mempunyai kemudahan berkelas dunia selain memiliki padang yang berkualiti.