Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mahu melibat legenda bola sepak negara, Safee Sali terlibat dalam pembangunan bola sepak di Malaysia.

Harapan besar itu diletakkan oleh Hamidin apabila Safee mengumumkan persaraannya daripada kancah bola sepak selepas hampir dua dekad beliau bergelar pemain profesional.

Dalam ucapannya semalam, Safee turut tidak menyembunyikan hakikat bahawa beliau akan menubuhkan akademi bola sepak dalam usaha untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu bola sepak tanah air.

Sehubungan dengan itu, Hamidin optimis penjaring 47 gol buat skuad Harimau Malaya tersebut akan terus memberikan sumbangan bermakna buat bola sepak negara.

“Safee Sali merupakan legenda sebenar bola sepak Malaysia dan menjadi contoh kepada pemain muda dalam negara. Dedikasi, usaha keras dan semangat beliau terhadap sukan telah menempatkan beliau di hati peminat di Malaysia dan komuniti bola sepak seluruh dunia.”

“Bagi mewakili FAM, saya ingin merakamkan ucapak terima kasih kepada Safee di atas sumbangan beliau terhadap bola sepak Malaysia dan semoga berjaya untuk masa hadapan beliau.”

“Kami yakin beliau akan terus berikan impak positif kep-ada sukan dan kami akan menantikan penglibatan beliau di dalam pembangunan bola sepak Malaysia,” ujar Hamidin yang hadir ke Majlis Sidang Media Pengumuman Persaraan Safee Sali semalam.

Memulakan kerjaya profesional pada tahun 2004, Safee pernah mewakili Kuala Lumpur, Sarawak, Selangor, Pelita Jaya, Johor Darul Ta’zim (JDT), PKNS FC, Petaling Jaya City, dan KL City menjadi kelab terakhirnya.