Dua pemain yang menjalani sesi latihan bersama Bluewave Chonburi, Haiqal Hasnor dan Kairul Sukri mengakui peluang keemasan yang diberikan mampu untuk meningkatkan kemampuan mereka bagi menghadapi baki saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023.

Seperti dilaporkan sebelum ini, dua pemain muda yang mewakili Selangor TOT United telah dihantar ke Bangkok untuk menjalani latihan selama seminggu bersama kelab futsal gergasi Thailand itu.

Ketika ditemui di Bangkok, Haiqal dan Kairul mengakui jurang yang cukup besar dapat disaksikan sehingga adakalanya membuatkan mereka sedikit bergelut untuk bersaing dengan pemain Bluewave Chonburi yang sebahagian besarnya sudah mengecapi kaps antarabangsa bersama skuad kebangsaan Thailand.

Haiqal Hasnor. Kredit Foto: Bluewave Chonburi Futsal Club

“Latihan di sini memang sangat berintensiti tinggi. Malah, semua pemain menunjukkan tahap disiplin yang sangat tinggi. Oleh itu tidak hairanlah mengapa mereka mempunyai kualiti yang cukup baik.’’

“Dengan peluang yang diberikan walaupun hanya seminggu di sini, saya yakin dapat membantu Selangor TOT United bagi menghadapi baki perlawanan liga tambahan pula rakan-rakan sepasukan yang lain juga sentiasa membantu.’’ ujar Haiqal.

Sementara itu, Kairul melihat latihan yang diterima bersama kelab gergasi itu nyata memberikan kesan besar kepadanya untuk dibawa pulang ke tanah air.

“Pada permulaan saya sedikit ‘kejutan budaya’ dan cukup kagum dengan intensiti latihan di Thailand. Apatah lagi saya berpeluang untuk berlatih bersama kelab ternama di sini.’’

“Layanan yang cukup baik diberikan oleh kesemua pemain walaupun ada diantara mereka yang sudah berkelas dunia. Saya dapat bergaul baik dengan mereka walaupun ada sedikit kesukaran daripada segi bahasa komunikasi.’’

Kairul Sukri. Kredit Foto: Bluewave Chonburi Futsal Club

“Pengalaman berlatih di sini memang memberikan impak yang cukup besar buat saya. Banyak yang saya dapat pelajari walaupun hanya dalam masa seminggu terutamanya daripada aspek taktikal yang berbeza.’’

“Ilmu yang diperolehi ini pastinya saya akan gunakan sepenuhnya apabila kembali bersama Selangor TOT United nanti,’’ tambah pemain kelahiran Tawau itu lagi.