Kemelut kewangan yang berlaku dalam pasukan Perak FC memaksa beberapa tonggak utama memilih untuk berhijrah ke pasukan lain demi masa depan mereka.

Selepas kehilangan kapten pasukan, Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula ke pasukan JDT, Perak juga turut melepaskan Kenny Palraj dan J. Partiban ke pasukan Kuala Lumpur City.

Penjaga gol utama, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy turut membayangkan akan meninggakan pasukan itu apabila mengesahkan telah menerima tawaran daripada tiga pasukan dari Lembah Klang, Pantai Timur dan Selatan Tanah Air.

Namun begitu, beliau belum membuat sebarang keputusan dan masih berat hati untuk meninggal pasukan kelahirannya itu.

“Bukan senang untuk saya tinggalkan Perak yang merupakan negeri kelahiran saya sendiri, cuma saya kena fikirkan masa depan dan keputusan sama ada kekal atau berhijrah akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam Bernama.

Malah, beliau juga membayangkan terdapat ramai lagi pemain Perak akan menyertai pasukan lain disebabkan oleh sikap pengurusan pasukan itu yang tidak menghormati mereka.

“Siapa yang akan keluar (daripada pasukan) saya tidak boleh dedahkan cuma keputusan yang akan diambil oleh mereka adalah disebabkan memikirkan tentang masa depan dan perjalanan karier.

“Mereka kecewa sampai ada (pengurusan) yang kata kalau tiada jiwa untuk bermain dengan Perak, boleh cari pasukan lain. Bagi saya ini bukan satu kenyataan yang bijak dalam keadaan pasukan terumbang-ambing,” jelasnya.

Baca artikel lain mengenai isu yang membabitkan pasukan Perak yang dilaporkan baru-baru ini. 

TERKINI: Kecewa Tak Dapat Gaji, Pemain Perak Boikot Sesi Latihan

Perak Bakal Berdepan Hukuman Kerana Tindakan Penyokong Baling Suar

TERKINI: Rizal Ali Umum Peletakan Jawatan Sebagai CEO Perak FC