Selepas mengharungi sesi percubaan bersama sebuah kelab J2 League, Roasso Kumamoto selama seminggu, Hadi Fayyadh berjaya menunjukkan kepada barisan akademi kelab itu bahawa beliau merupakan satu aset penting kepada pasukan.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan Hadi Fayyadh berjaya menjaringkan 2 gol dalam satu perlawanan persahabatan bertemu pasukan bola sepak sekolah tinggi Shizugaku FC (Shizuoka Gakuen HS), dimana Roasso Kumamoto U18 berjaya menewaskan pasukan itu dengan keputusan 5-2.

Hadi berkata kepada Harian Metro bahawa beliau cukup berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan dan sesi bersama skuad itu sangat baik seterusnya membantu meningkatkan kemahirannya.

“Saya belajar banyak benda baru di sini terutamanya berkaitan imbangan dalam bola sepak.

“Penggunaan padang sintetik di sini bukanlah suatu perkara yang baharu bagi saya memandangkan saya juga pernah berlatih dengan padang seperti ini di Malaysia.

“Perbezaannya cuma bola bergerak lebih laju berbanding padang biasa dan ia bagus untuk pembangunan seorang pemain.

“Saya begitu selesa dan boleh menyesuaikan diri bersama mereka. Walaupun ada sedikit masalah bahasa, namun ia bukan halangan dan saya akan mempelajari bahasa Jepun sekiranya berpeluang menyertai kelab ini nanti,” katanya.

Aksi Hadi Fayyadh turut menarik perhatian Pengarah Akademi Roasso Kumamoto, Hideaki Fujiwara yang menghamburkan pujian yang dimiliki pemain tinggi lampai itu.

Hideaki Fujiwara mengetuai pengurusan Akademi Bola Sepak Roasso Kumamoto terdiri dari beberapa pasukan bawah umur yang merupakan teras kepada pasukan utama yang beraksi dalam saingan J2 League. Mereka mempunyai sekurag-kurangnya 4 pasukan bawah umur seperti dibawah.

hadi fayyadh

  • Roasso Kumamoto Youth: Skuad U18
  • Roasso Kumamoto Junior Youth: Skuad U13, U14 dan U15
  • Roasso Kumamoto Junior: Skuad U12

“Hadi memiliki kemahiran antara yang terbaik dalam pasukan ini dan cepat menangkap apa yang jurulatih arahkan selain pantas mengawal bola.

“Dia juga mempunyai semangat berpasukan dan sentiasa merendah diri yang membuatkannya mudah di terima oleh rakan sepasukan.

“Saya percaya Hadi mampu pergi lebih jauh sebagai seorang pemain bola sepak yang baik di masa akan datang,” katanya.

Sumber