Penyerang baharu Perak FC, Hadi Fayyadh mahu memberi impak apabila kembali semula ke kancah Liga Malaysia selepas empat tahun berkelana di Jepun.

Perak merupakan kelab keduanya selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dan misinya kembali ke Malaysia adalah untuk meraih pencapaian yang lebih baik selepas mendapat pengalaman luas ketika di negara Matahari Terbit itu sejak musim 2019.

Salah satunya adalah untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan kerana dia sedar hadir selaku penyerang adalah penting untuk memperkuatkan barisan hadapan pasukan dan percaya Perak adalah kelab yang tepat untuknya meraih sesuatu.

Namun, pemain berusia 23 tahun ini sedar perjalanan baharunya ini tidak akan mudah dan sudah pasti akan mengambil masa untuknya berada di tahap yang diinginkan selain percaya dia kini di landasan tepat bersama Perak.

“Saya percaya rezeki ada di mana-mana dan saya nampak kesungguhan Perak yang inginkan khidmat saya selain yang turut memberi harapan kepada saya adalah jurulatih Lim Teong Kim yang membuatkan saya rasa dihargai.

Kredit Foto: Perak Football Club

“Peluang tidak akan datang selalu dan sekarang inilah peluang untuk saya kembali ke Malaysia dan bermain dengan Perak, cuma memang akan ambil masa juga sebab saya dah lama di Jepun, tetapi saya percaya dengan barisan kejurulatihan di Perak dapat bantu saya melakukan lebih baik musim ini.

“Sudah tentu sasaran saya adalah untuk menjaringkan gol dan ingin menjadi penyerang terbaik tetapi macam saya cakap, semuanya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dan saya juga kena menunjukkan contoh yang baik kepada pasukan serta juga rakan-rakan lain”, jelasnya.

Bercakap mengenai prestasinya ketika bersama Fagiano Okayama dan Azul Claro Numazu, Hadi menyifatkan dia telah berusaha sebaik mungkin untuk belajar sesuatu di sana meskipun kurang minit bermain dan itu tidak menghalang dirinya untuk terus bekerja keras mengejar impian lebih besar selepas ini.

“Bagi saya, orang tidak tahu apa yang saya lalui di sana (Jepun) dan apa yang mereka nampak adalah hanya 1 peratus sahaja.

“Untuk berada di sebuah negara orang tidak mudah tetapi saya tahu saya telah melakukan yang terbaik selepas empat tahun dan saya percaya rezeki ada di mana-mana.

“Sebab itu saya harap tahun ini akan menjadi yang terbaik untuk saya membuktikan sesuatu tetapi sudah tentu ianya akan mengambil masa, namun saya percaya dengan suasana dan bimbingan di sini, saya boleh melakukannya”, tambah Hadi Fayyadh lagi.