Pemain skuad Malaysia U19, Hadi Fayyadh yang tidak menyambung kontrak bersama skuad JDT II dilaporkan akan muncul sebagai pemain pertama dari Malaysia beraksi bersama dalam saingan JLeague.

Vocket FC difahamkan bahawa kini Hadi Fayyadh sedang mempertimbangkan destinasi baru beliau untuk memilih samada Roasso Kumamoto atau pun Fagiano Okayama, dimana kedua-dua pasukan itu kini beraksi dalam saingan J2 League.

Dari maklumat yang diterima timbul sedikit kegusaran mengenai Fagiano Okayama kerana saingan dalam pasukan itu lebih kuat berbanding saingan yang ada di Roasso Kumamoto.

Namun, pada ketika ini pasukan Roasso Kumamoto berada dikedudukan tercorot saingan J2 League dengan baki 5 perlawanan, manakala Fagiano Okayama pula dikedudukan 13 dari 22 pasukan bertanding.

Kini terpulang kepada Hadi Fayyadh sendiri untuk membuat keputusan samada mahu menerima salah satu dari kelab diatas atau pun mempunyai pilihan lain dengan bantuan penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia, Yakult untuk menentukan masa depan karier bola sepak beliau.