Pep Guardiola menganggap Haaland persis Ibrahimovic. Dia turut membandingkan gol Haaland dengan gol Johan Cruyff yang ikonik satu ketika dahulu.

Bintang Manchester City itu menjaringkan gol voli akrobatik pada minit ke-84 untuk memastikan kemenangan 2-1 menentang bekas pasukannya dalam Liga Juara-Juara UEFA Eropah.

City dipaksa bekerja keras sekali lagi untuk bangkit daripada ketinggalan.

Bercakap kepada media selepas perlawanan, pengurus asal Sepanyol itu kagum dengan gol Haaland dan tidak dapat menahan dirinya daripada membandingkannya dengan Cruyff.

“Mungkin orang yang mengenali saya, anda tahu pengaruh Johan Cruyff dalam hidup saya, sebagai insan, pendidik, pengurus dan mentor, semuanya.”

“Johan Cruyff, bertahun-tahun yang lalu di Camp Nou, menjaringkan gol yang luar biasa menentang Atletico Madrid. Ia agak serupa. Saat dia menjaringkan gol saya terus fikir, ‘Johan Cruyff’,” kata Pep Guardiola.

Gol flying kick Haaland

Selain itu Guardiola turut menyamakan Erling Haaland dengan rakan baiknya, Zlatan Ibrahimovic kerana kemahiran kedua dua pemain itu yang mirip.

“Tanggapan pertama yang saya adalah, saya masih ingat sedikit dengan sahabat baik saya, kawan saya Ibrahimovic, mempunyai kebolehan luar biasa ini untuk meletakkan kaki di atas udara, dan Erling agak serupa seperti itu,” tambahnya lagi.

“Dia [Haaland] anjal, fleksibel dan mempunyai keupayaan itu untuk membuat sentuhan dan meletakkan bola di dalam jaring. Kamu sendiri lihat betapa besarnya dia, bagaimana dia mempunyai fleksibiliti ini?”

“Saya fikir ia adalah sifatnya; ibu dan ayahnya memberikannya sifat fleksibel ini.”

Manchester City kini berada dalam landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati UCL.