Penyerang prolifik Manchester City, Erling Haaland mendedahkan beliau banyak makan daging untuk mengekalkan prestasinya di tahap optimum sebelum turun menghadapi perlawanan sebenar.

Pemain yang berusia 22 tahun itu mengekalkan ketajamannya untuk terus memecahkan rekod jaringan Liga Perdana Inggeris.

Dia mengatasi rekod jaringan semusim Liga Perdana Inggeris yang dipegang Alan Shearer dan Andy Cole (34 gol) dengan meledak 36 kali dalam 33 perlawanan.

Sebanyak 52 gol sudah dijaringkan dalam semua pertandingan, termasuk meledak lima gol dalam satu perlawanan dan lima hatrik.

Bagi mengekalkan tahap kecergasannya, Haaland berkata dia makan jantung dan hati lembu, susu serta lasagna dalam diet hariannya.

Bekalan susu Haaland diperoleh daripada bapanya, Alfie yang mempunyai ladang ternak sendiri di Norway.

“Orang kata daging tidak bagus untuk anda tetapi yang mana? Daging di McDonald? Atau daging tempatan? Saya makan jantung dan hati,” kata Haaland.

Haaland makan sekitar 6,000 kalori sehari untuk memastikan tubuhnya dalam keadaan terbaik, dan bagi ramai pakar makanan, ini adalah normal berdasarkan ketinggian serta berat pemain itu.

“Itu hanya diet orang lama dimana datuk dan ibu bapa kita beri makan hati serta jantung lembu untuk mengelakkan penyakit anemia kerana ia kaya dengan zat besi,” kata Andrea Buceta, pakar pemakanan sukan.

Haaland seterusnya menjelaskan bahawa beliau sering berjemur pada waktu pagi.

“Perkara pertama yang saya lakukan pada waktu pagi ialah mendapatkan cahaya matahari di mata saya. Saya juga mula minum air tapisan. Saya rasa ia boleh memberi manfaat yang besar untuk badan saya,” tambahnya.

Keghairahan Erling Haaland menjaringkan gol membantu Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini. Beliau kini fokus untuk membantu city meraih kejuaraan treble.

City akan berdepan Manchester United pada final Piala FA dan Inter Milan pada final Liga Juara-Juara Eropah bulan depan.