Baru-baru ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan nama dua pemain sudah dihantar ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk didaftarkan sebagai pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad kebangsaan.

Salah satu nama tersebut ialah penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme de Paula yang berasal dari Brazil. Namun, timbul keraguan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang berasakan beliau tidak layak mewakili negara kerana faktor usia.

Tahun ini, beliau berusia 33 tahun dan sudah mempunyai pengalaman beraksi dengan 18 kelab sepanjang karier bola sepaknya.

“Usia bukan penghalang, saya akan terus berada dalam tahap kecergasan terbaik bagi menampilkan permainan yang mantap.

“Saya sangat gembira dan cintakan negara ini. Saya sudah berada di negara ini selama lima tahun dan mahu kekal dalam tempoh yang panjang,” katanya dalam Stadium Astro.

Guilherme De Paula
Sumber Gambar: MFL

Selain De Paula, bekas pemain import Kedah, nama Liridon Krasniqi turut menjadi pilihan FAM untuk dinaturalisasikan. Mereka berdua akan menyertai seorang lagi pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang telah pun membuat penampilan dengan skuad kebangsaan pada tahun lepas.

Dalam usaha untuk meningkatkan mutu serta kualiti skuad kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi dan juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pengambilan pemain naturalisasi adalah untuk jangka masa pendek sementara menunggu hasil daripada program akar umbi.

Menurut undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), seseorang pemain bola sepak boleh mewakili negara itu jika telah menetap di sana sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun. Namun begitu, undang-undang kerakyatan Malaysia memerlukan tempoh 10 tahun untuk dinaturalisasikan.

Selain itu, FAM turut menghantar dokumen 2 pemain dari luar negara yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan. Malah, dua lagi dokumen pemain berdarah kacukan akan dihantar dalam masa terdekat.

Jika sudah mendapat lampu hijau daripada kerajaan, De Paula mungkin buat penampilan sulung dengan skuad Harimau Malaya ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada bulan September depan.

Sumber