Pemain naturalisasi ketiga negara, Guilherme De Paula Lucrecio jelas tidak terkesan dengan kritikan yang dilemparkan terhadapnya sebaik sahaja namanya tersenarai bagi mengikuti sesi latihan pusat skuad kebangsaan.

Pemilihan De Paula menyertai 28 orang rakan yang lain untuk menjalani latihan di Johor Bahru bermula semalam, telah mendapat kritikan peminat bola sepak tempatan ekoran aksi kurang menarik ditampilkannya sebelum ini.

Bagaimanapun, pemain yang kini menjengah usia 35 tahun pada November nanti pantas membuktikan mengapa beliau menjadi pilihan pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe.

Ia berikutan dua jaringan yang dihasilkannya ketika berdepan gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh tempoh hari.

Sehubungan dengan itu, De Paula tetap optimis dengan keupayaannya dan tidak melihat kritikan terhadap dirinya terutamanya melibatkan persembahan dan usianya menjadi penghalang buat beliau untuk memberikan sumbangan berkesan.

“Bagi saya umur hanyalah angka. Apa yang penting ialah tahap mental dan kecergasan. Anda boleh tengok seperti pemain Eropah yang lain bermain sampai umur 35-36 tahun.”

“Di Malaysia pun ada pemain yang berumur masih beraksi. Jadi bagi saya umur bukan satu masalah.”

“Orang boleh beri kritikan kepada saya dan itu perkara biasa untuk seorang pemain bola sepak. Saya ambil perkara positif yang orang katakan tentang saya dan jadikan ia sebagai satu motivasi,” ujar Guilherme De Paula menurut laporan dikeluarkan Team Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Subkhiddin: Tindakan Tegas Perlu Diambil Terhadap Insa

Harga Tiket Perlawanan Liga Malaysia 2021 Mungkin Dinaikkan

Faktor Utama Mengapa Thomas Dooley “Direhatkan” Sebagai Pengendali Sri Pahang

 

 

 

Sumber