Penyerang import pasukan Kuala Lumpur, Guilherme De Paula menegaskan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan berada dalam keadaan terbaik sekiranya dipilih oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi beraksi bersama skuad kebangsaan dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan kedua.

Guilherme bersama seorang lagi pemain, Liridon Krasniqi merupakan dua nama yang dihantar oleh FAM kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan ke­rakyatan Malaysia sekaligus membenarkan kedua-dua pemain beraksi bersama pasukan kebangsaan.

naturalisasi
Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi

De Paula berkata: “Disenarai pendek oleh FAM untuk mewakili Malaysia adalah satu penghormatan buat saya, namun prosesnya tidak semudah disangka. Saya sangat gembira dan berpuas hati sebab FAM membuka peluang kepada saya untuk menjadi rakyat Malaysia.

“Ia satu penghargaan buat mana-mana pemain dapat ber­aksi untuk pasukan kebangsaan kerana itu pencapaian tertinggi buat mereka. Jika dipilih mewakili Malaysia, ia umpama mimpi menjadi kenyataan. Saya akan lakukan apa sahaja untuk memastikan saya berada dalam keadaan terbaik dan menarik perhatian FAM,” katanya menurut laporan Utusan.

Guilherme De Paula
Sumber Gambar: SB

Tambah De Paula, beliau akan membuktikan kepada FAM bahawa bekas penyerang Selangor itu layak untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan dan pemain berusia 32 tahun ini turut menegaskan beliau sanggup untuk mengambil inisiatif sendiri bagi mengekalkan tahap kecergasan sekiranya khidmatnya tidak disambung oleh Kuala Lumpur. Kontrak De Paula bersama skuad The City Boys akan tamat pada 31 November 2019.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi menyatakan kedudukan Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi dalam skuad kebangsaan belum terjamin dan keduanya perlu perlu bekerja keras untuk membuktikan mereka benar-benar berbaloi diberikan ke­rakyatan Malaysia.