Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan sudah menghantar nama Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam untuk didaftarkan sebagai pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad kebangsaan.

Menurut sumber daripada laman sosial, FAM turut menghantar dokumen 2 pemain dari luar negara yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan. Malah, dua lagi dokumen pemain berdarah kacukan akan dihantar dalam masa terdekat.

Liridon dan De Paula merupakan dua pemain naturalisasi tambahan selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh yang membuat penampilan pertama dengan skuad Harimau Malaya pada tahun lepas.

“Satu pertemuan di antara pegawai tertinggi FAM dan KDN telah diadakan pada Selasa, 2 Julai 2019, untuk badan induk itu menyerahkan segala dokumen berkaitan yang membabitkan dua pemain berkenaan.

“Perkhabaran terbaru itu tampak sesuatu yang positif apabila ia sudah dipanjangkan ke peringkat lebih tinggi selain turut menjadikan perancangan itu lebih serius dan juga bermakna,” kata sumber daripada Astro Arena

Liridon Krasniqi
Aksi Liridon Krasniqi ketika menyertai Melaka United. Sumber Gambar: MUSA

Dalam usaha untuk meningkatkan mutu serta kualiti skuad kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi dan juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pengambilan pemain naturalisasi adalah untuk jangka masa pendek sementara menunggu hasil daripada program akar umbi.

Menurut undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), seseorang pemain bola sepak boleh mewakili negara itu jika telah menetap di sana sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun. Namun begitu, undang-undang kerakyatan Malaysia memerlukan tempoh 10 tahun untuk dinaturalisasikan.

Musim ini, Liridon telah beraksi untuk pasukan Melaka United tetapi dikeluarkan pada pertengahan musim berikutkan kecederaan yang melanda dirinya manakala De Paula masih beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur sehingga kini.