Kuala Lumpur berjaya memperoleh kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini apabila menundukkan pasukan Kedah dengan keputusan 2-1 pada perlawanan yang diadakan di Stadium KLFA, Cheras semalam.

Setelah tewas pada enam perlawanan terakhir Liga, skuad ibu kota kembali diperkuat oleh penyerang sensasi mereka iaitu Guilherme De Paula.

Pemain yang sinonim dengan panggilan Wak Doyok ini kembali memperkuatkan kesebelasan utama pasukan setelah berehat panjang akibat kecederaan yang dialami pada perlawanan pertama Liga menentang Pahang.

Guilherme menjaringkan gol kemenangan skuad ibu kota pada minit ke-50 apabila beliau menolak masuk bola hasil daripada sepakan percuma yang diambil oleh Paulo Josue.

Kehadiran De Paula dilihat memberikan perbezaan yang ketara di bahagian serangan pasukan Kuala Lumpur. Mereka lebih berbahaya dan menghadirkan ancaman ke atas kubu pertahanan lawan.

Berbeza dengan perlawanan sebelum ini dimana serangan The City Boys tidak bermaya dan pergerakan mereka mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan pasukan lawan.

Dengan kembalinya Guilherme, beliau dijangka terus menjadi pilihan utama ketua jurulatih, Chong Yee Fat bagi memimpin jentera serangan pasukan.

Jika perkara tersebut berlaku, maka seorang lagi pemain import, Sylvano Comvalius bakal memanaskan bangku simpanan dan berkemungkinan besar digantikan pada jendela perpindahan kedua nanti.

Untuk makluman, perlawanan semalam diadili oleh tiga pegawai perlawanan daripada Maldives. Mereka adalah sebahagian daripada program rekrut yang dikelola Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan merupakan pengadil bertaraf FIFA.