Pep Guardiola mengkritik sikap pemain dan penyokong Manchester City, ketika pasukan mereka hampir kalah kepada Spurs.

Manchester City ketinggalan 2 gol pada separuh masa pertama selepas dua kesilapan City dimanfaatkan oleh Dejan Kulusevski dan Emerson Royal.

Spurs mendahului separuh masa 2-0 apabila pemain City disambut dengan ejekan daripada segelintir penyokong yang tidak puas hati.

Pada separuh masa kedua, City menunjukkan jiwa dan semangat yang luar biasa apabila dua gol pantas daripada Julian Alvarez dan Erling Haaland mencetuskan kebangkitan 4 gol mereka.

Riyad Mahrez menjaringkan gol pada minit ke-63, satu lagi gol daripada pemain Algeria itu pada minit ke-90 mengesahkan kemenangan penting 4-2.

Bagaimanapun, di sebalik keputusan itu, Guardiola tidak berpuas hati semasa wawancara selepas perlawanannya.

Pengurus asal Sepanyol itu berkata pemainnya tidak mempunyai keberanian, semangat, keghairahan dan keinginan untuk menang.

Guardiola bukan sahaja mengkritik pemain pemain City, dia turut membidas sikap penyokong Manchester City pada separuh masa pertama.

Dia berkata: “[Kekurangan] Keberanian, keghairahan, semangat, keinginan untuk menang dari minit pertama. Begitu juga dengan penyokong kami, mereka senyap selama 45 minit. Saya mahu penyokong saya bangkit semula!

“Kami jauh, jauh daripada mampu bersaing di peringkat tertinggi.”

Guardiola kemudian menganggap pasukannya hari ini hilang karakter.

Pengurus Man City meneruskan bicaranya: “Kami mempunyai lawan iaitu Arsenal yang sedang membara. Dua dekad tanpa memenangi Liga Perdana Inggeris. Saya menjelaskan realiti, semuanya begitu selesa tetapi pihak lawan tidak menunggu kita.”

“Saya tidak mengenali pasukan saya hari ini.”

“Kami jauh daripada pasukan yang kami ada pada musim-musim sebelumnya. Adakah anda fikir kebangkitan semula ini akan berlaku setiap kali? Ia tidak akan berlaku.”

Guardiola terus mengatakan bahawa pasukannya bertuah kerana menang.

Dia menambah: “Hari ini kami bertuah. Jika kita mahu memenangi sesuatu atau bersaing – tetapi pada masa yang sama berterusan mengeluh, mengeluh, mengeluh – tidak ada peluang untuk kita memenangi apa-apa.”

“Adakah anda fikir kami akan mengejar jurang mata dengan Arsenal seperti cara kami bermain sekarang? tak boleh.”

Seterusnya untuk anak buah Guardiola ialah Wolverhampton Wanderers pada petang Ahad dalam usaha mereka terus cuba kekal bersaing dengan Arsenal.