Harapan Manchester City untuk merangkul UCL pertama dalam sejarah kelab mereka musnah sekali lagi.

Kali ini City terlepas slot ke final walaupun sudah mendahului sehingga minit ke-89.

Real Madrid menjaringkan 2 gol pada minit ke-90 dan ke-90+1 menerusi Rodrygo. Sebelum Benzema memastikan kemenangan Real Madrid secara agregat 6-5 menerisi penalti pada masa ekstra.

Ianya merupakan kali ketiga berturut turut Real Madrid bangkit daripada ketinggalan. Sebelum ini Real Madrid melakukan ‘comeback’ ke atas PSG dan Chelsea.

Selepas tamat perlawanan, Pep Guardiola mengakui bahawa pasukannya harus menerima kenyataan bahawa mereka sangat hampir untuk ke final buat tahun kedua berturut turut.

Guardiola berkata: “Kami tidak boleh menafikannya, bahawa hakikatnya kami sangat hampir untuk ke final.”

“Pemain sudah memberikan segalanya. Kami sangat hampir untuk melakukannya namun gagal menyelesaikannya.”

“Dalam sejarah bola sepak, perkara seperti ini berlaku. Dengan adanya penyokong [tuan rumah] menyokong pasukan mereka, ianya menjadi lebih sukar.”

“Saya sudah merasai beberapa kekalahan dalam Liga Juara Juara Eropah, kekalahan yang perit apabila kita gagal ke final, jadi, tidak ada dakwa dakwi, ini adalah sukar untuk kami.”

“Kami harus menerima hakikat bahawa kami sangat hampir dengan aksi final Liga Juara Juara Eropah. Kami tidak bermain bagus di separuh masa pertama, namun itu perkara biasa dalam pertandingan ini.”

“Perkara sebegini berlaku banyak kali dalam sejarah mereka. Mereka meletakkan ramai pemain di kotak serangan dan mereka melakukan hantaran hantaran lintang lalu menjaringkan 2 gol.”

“Kami tidak menderita banyak, sehinggalah mereka menjaringkan gol mereka, tetapi ini bukan aksi terbaik kami.”

Carlo Ancelotti pula menyatakan, dia percaya, sejarah kelab Real Madrid itu sendiri membantu keajaiban ini berlaku sekali lagi.

“Jika kamu nak memperkatakan apa sebenarnya telah beraku, ianya adalah kerana sejarah kelab ini yang membantu kami terus berjuang dan kami kelihatan hampir tersingkir.”

Thibau Courtois tidak melepaskan peluang menyindir Manchester City sebagai pasukan yang banyak berbelanja dalam usaha mereka mahu menjuarai UCL, namun Real Madrid memberikan mereka pengajaran berguna.

“Kami menyingkirkan pasukan yang sangat besar yang berbelanja sangat banyak dalam usaha mereka mahu memenangi UCL.”

“Laluan kami untuk ke final adalah PSG, Chelsea dan Manchester City, dan hari ini lebih mengagumkan kerana ianya gol di minit akhir.”