Guardiola mahu Chelsea kekalkan Potter sebagai pengurus mereka dan memberikan sokongan sebaiknya kerana Potter sebelum ini melakukan tugasan luar biasa di Brighton.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberitahu pemilik Chelsea, Todd Boehly agar memberikan masa secukupnya kepada Graham Potter untuk melaksanakan ideanya di Stamford Bridge.

Ini selepas pasukannya Manhester City membelasah The Blues dalam aksi Piala FA. Ini juga kali kedua Man City menang ke atas Chelsea dalam tempoh empat hari.

Selepas kemenangan 1-0 Liga Perdana Khamis yang membuatkan Chelsea berada di tempat ke-10, City kemudian menyingkirkan pasukan bimbingan Potter daripada Piala FA dengan kemenangan 4-0 di Stadium Etihad pada Ahad.

Riyad Mahrez membuka jaringan dengan sepakan percuma yang cantik sebelum penalti Julian Alvarez dan gol Phil Foden menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat, dan Mahrez menamatkan tugasan dengan satu lagi gol daripada bola mati. Kali ini menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua.

Prestasi buruk di Chelsea menyebabkan ramai peminat Chelsea mulai merasakan bahawa Graham Potter patut dipecat. Tekanan ke atas pengurus itu kian memunca.

Chelsea tersingkir buat pertama kalinya di pusingan ketiga Piala FA selepas 25 tahun.

Wisel separuh masa kedengaran disambut dengan ejekan dari penyokong pelawat, dan menjelang separuh masa kedua peminat Chelsea menyanyikan nama bekas pemilik Roman Abramovich dan pengurus sebelum Potter, Thomas Tuchel.

Tetapi Guardiol jelas merasakan bahawa Potter orang yang tepat membimbing Chelsea dan mahu mereka kekalkan pengurus itu.

Guardiola memberikan salah satu alasannya adalah prestasi Potter ketika berada di Brighton. Guardiola menghamburkan pujian kepada Potter di atas apa yang dia lakukan di kelab terdahulu.

Guardiola  juga menganggap prestasi Potter di Brighton bukti bahawa dia pengurus yang hebat.

Cuma ketika ini, Potter masih baru dalam usahanya membina ideanya di Stamford Bridge.

“Saya akan berkata kepada Todd Boehly, beri dia masa,” kata Guardiola.

“Saya tahu di kelab besar, keputusan adalah penting tetapi saya akan katakan beri dia masa.”

“Apa yang dia lakukan di Brighton adalah luar biasa, tetapi…kita perlukan masa pada musim pertama.”

“Saya mempunyai [Lionel] Messi di Barcelona musim pertama saya jadi saya tidak memerlukan dua musim untuk mendapatkan rentak kerana Messi ada berada di sana.”

Chelsea kini sudah rasmi tersingkir daripada 2 piala domestik. Dan berada di tangga ke-10 dalam carta liga.

Potter mungkin boleh menjelaskan kepada lembaga pengarah Chelsea tentang krisis kecederaan yang dihadapi pasukannya sebagai salah satu punca mereka bergelut dengan prestasi.