Guardiola menyatakan Erling Haaland mungkin terpaksa direhatkan, dan nampaknya pemain perlu melepasi ujian kecergasan sebelum pertembungan penting Manchester City dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal pada Rabu.

Penyerang prolifik Norway, Erling Haaland yang telah menjaringkan 31 gol dalam semua pertandingan untuk juara bertahan EPL musim ini, telah dikeluarkan pada separuh masa ketika kemenangan 3-1 Manchester City ke atas Aston Villa.

Dengan City mendahului 3-0 pada masa itu, nampaknya tidak ada keperluan untuk mempertaruhkan pemain berusia 22 tahun itu pada babak kedua di Stadium Etihad tetapi pengurus Pep Guardiola kemudian mendedahkan pemain itu mengakami kesakitan kerana bertembung dengan lawannya.

Guardiola berkata tentang kemungkinan Haaland akan direhatkan ketika menentang Arsenal: “Erling ada mengalami kesakitan dan kami akan menilai pada hari-hari seterusnya apa yang berlaku kepadanya.”

“Pada separuh masa saya bercakap dengan doktor. Mereka berkata pada 3-0, ‘Mungkin jangan ambil risiko,’ dan saya bersetuju. Saya rasa dia tidak cedera tetapi esok kita akan lihat.”

“Harapan saya agar dia boleh bermain untuk hari Rabu tetapi jika dia tidak bersedia, atau ada risiko, dia tidak akan bermain.”

Manchester City kini akan menuju ke Stadium Emirates dalam usaha mereka untuk memintas Arsenal, sekiranya mereka berjaya menewaskan Gunners. Hal ini kerana Man City memiliki rekod perbezaan jaringan jauh lebih baik.

Tetapi, Arsenal sebenarnya masih tetap memiliki kelebihan 1 perlawann dalam tangan selepas pertembungan itu nanti.

Manchester City berjaya mengendalikan tekanan yang mereka hadapi sepanjang minggu lalu, berikutan dakwaan salah laku kewangan melibatkan lebih 100 kes salah laku.

Pada separuh masa pertama sahaja Man City menghasilkan 3 gol menerusi Rodri, Ilkay Gundogan dan – dari sepakan penalti – Riyad Mahrez.

Para penyokong bersorak nama Guardiola selepas pengurus itu berkata dia bertekad untuk terus kekal bersama kelab itu walaupun mereka ditolak ke divisyen semi pro sekalipun.

Guardiola berkata: “Malangnya kami melepaskan satu gol, kesilapan, dan kami perlu melindungi gol kami dengan lebih baik dalam apa jua keadaan.”

“Tetapi, secara umum, ia adalah permainan yang sangat bagus. Saya gembira dengan itu. Pasukan di atas kami kehilangan mata dan itulah sebabnya penting, akhirnya, mengambil peluang ini untuk mengurangkan jurang dengan Arsenal.”

Merujuk kepada minggu yang sukar dihadapi City, Guardiola berkata: “Ia berlaku minggu ini dan minggu depan ia akan dilupakan. Semua orang akan menjalankan tugas mereka di kelab.”

“Tugas kami adalah untuk membuat persediaan dan memenangi perlawanan di atas padang dan hari ini adalah contoh yang baik untuk itu. Melihat dan merasai persaan orang kita di sana adalah bagus.”