Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui tidak memandang rendah keupayaan Arsenal meskipun berjaya mencatatkan kemenangan 4-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23, awal pagi tadi.

Kemenangan tersebut sekali gus mencerahkan lagi peluang The Cityzens untuk merampas kedudukan tangga teratas dimana mereka masih kekurangan dua perlawanan dan hanya dua mata dipisahkan dengan pendahulu tersebut.

Walaupun kemenangan mudah diraih anak buahnya, Guardiola tetap memuji segala usaha yang telah ditampilkan barisan pemain Arsenal sehingga menjadi pencabar kejuaraan pada musim ini.

“Saya tidak langsung memandang rendah terhadap Arsenal walau hanya sesaat. Saya tahu bagaimana bagusnya mereka.”

“Saya memberikan kredit atas apa yang mereka telah pamerkan pada ketika ini,” ujar Guardiola menurut laman sesawang rasmi Manchester City.

“Saya memilih untuk memikirkan bahawa mereka tidak berada pada tahap terbaik kerana kami bermain dengan sangat baik.”

“Saya memilih untuk membuat analisis permainan dengan tidak mengatakan mereka tidak bagus. Kami yang begitu bagus. Sekiranya kami bermain seperti hari ini, kami adalah pasukan yang sangat kompetitif tetapi terdapat banyak pasukan yang bagus di seluruh dunia.”

“Untuk memiliki mentaliti seperti ini, ia merupakan kepuasan yang paling saya ingin nikmati sebagai seorang pengurus pasukan.”

“Sudah pasti kami mahu meraih kemenangan dan bagaimana cara mereka berkelakuan, saya begitu kagum kerana saya tahu amat sukar untuk mencapainya,” tambah Pep Guardiola lagi.

Sekiranya Manchester City berjaya mencatatkan kemenangan pada dua perlawanan yang masih kekurangan itu, mereka akan meninggalkan Arsenal dengan kelebihan empat mata dan peluang terbuka luas untuk sekali lagi mengekalkan kejuaraan EPL.