Chelsea tidak menunggu lama untuk membawa masuk pengganti kepada Thomas Tuchel apabila mengumumkan kehadiran pengendali kelahiran England, Graham Potter sebagai ketua jurulatih baharu kelab London itu.

Pelantikan itu bukanlah satu kejutan besar kerana nama Potter yang sebelum ini membimbing Brighton telah dicanang oleh media Barat sebagai calon utama untuk mengisi kekosongan tersebut sebaik sahaja Tuchel dipecat.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan laman sesawang Chelsea FC awal pagi tadi, Potter telah memeterai kontrak lima tahun untuk bersama The Blues.

“Kami sangat teruja untuk membawa Graham ke Chelsea. Beliau adalah jurulatih yang telah terbukti kemampuannya serta mampu mencorak idea baharu dalam saingan Liga Perdana Inggeris.”

“Dia bukan sahaja sangat berbakat di atas padang, turut mempunyai kemahiran dan keupayaan melebihi aspek tersebut bagi menjadikan Chelsea sebagai kelab yang lebih berjaya.”

“Dia memberikan impak besar kepada kelabnya sebekum ini dan kami menantikan impak positif di kelab ini,” ujar pemilik bersama pasukan, Todd Boehly.

Mengulas mengenai penghijrahannya ke Chelsea, Graham Potter tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya dapat bersama kelab tersebut.

“Saya amat berbangga dan teruja untuk mewakili [membimbing] Chelsea, sebuah kelab bola sepak yang hebat ini.”

“Saya pastinya tidak sabar untuk bertemu dan bekerjasama dengan sekumpulan pemain yang hebat serta untuk membangunkan pasukan dan budaya yang boleh dibanggakan peminat kami yang sangat hebat.”

Sumber