Jika sebelum ini dunia bola sepak dikejutkan dengan tajaan Spotify dengan Barcelona, sebuah lagi syarikat teknologi bakal mengikuti langkah yang sama iaitu Google yang kini sedang berunding dengan kelab kendalian Antonio Conte, Tottenham Hotspur.

Syarikat yang terkenal dengan penawaran enjin pencarian di internet itu dilaporkan berminat untuk mendapatkan hak nama pada stadium Tottenham Hotspur dengan nilai sekitar $250 juta (~RM1.1 bilion).

Untuk pengetahuan, stadium Tottenham Hotspur pada ketika ini berjaya menempatkan 62,850 tempat duduk dan bukan digunakan pihak kelab, malah menjadi lokasi untuk perlawanan melibatkan sukan NFL dan juga ragbi.

Mengulas mengenai syarikat Google, pada ketika ini mereka telah mempunyai beberapa tajaan bersama pasukan melibatkan sukan-sukan berbeza terdiri daripada NBA, MLB dan juga yang terbaru adalah pasukan McLaren Formula 1.

Sekiranya kerjasama antara Google dan Tottenham ini termeterai, tidak mustahil trend syarikat teknologi bersama pasukan bola sepak ini bakal menjadi ikutan sekaligus meningkatkan nilai komersial kedua-dua pihak.

Malah, stadium Tottenham Hotspur bakal dijenamakan sebagai Google Stadium. Ketika ini hak penamaan stadium Manchester City dengan Etihad, terbesar dalam sejarah bola sepak Inggeris, bernilai £21.9 juta setahun.