Bekas pemain kebangsaan, Safee Sali membuktikan beliau masih lagi berbisa apabila menjaringkan gol pada kejohanan The Soccer Tournament (TST) yang berlangsung di Amerika Syarikat.

Safee yang mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak profesional pada awal tahun ini beraksi dengan pasukan Far East United yang diperkuatkan oleh pemain dari rantau Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Aksi pertama menentang West Ham United di peringkat kumpulan D menyaksikan Safee berjaya menjaringkan satu gol untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan 4-2.

Lebih menarik lagi, Safee melakukannya sendirian menerusi gerakan solo yang turut memerangkap bekas pemain Liga Perdana Inggeris iaitu Anton Ferdinand.

Gerakan menarik itu tular di media sosial sekali gus membanggakan penyokong bola sepak tempatan tempatan yang melihat pemain terbabit masih memiliki skil padu walaupun sudah mengumumkan persaraannya awal tahun ini.

Mengikut rekod, kejohanan yang disertai 32 pasukan daripada lapan kumpulan itu berlangsung pada 1 hingga 4 Jun 2023 dan bermain dengan format tujuh sebelah.

Antara kelab ternama dunia yang turut mengambil bahagian dalam kejohanan ini ialah West Ham, Wolves (England), Borussia Dortmund (Jerman) dan Wrexham (Wales).

Pemain berusia 39 tahun itu bakal menempuh dua lagi perlawanan apabila beliau akan turun menentang Dallas United serta Culture By Mo Ali FC.

TST adalah acara bola sepak tahunan yang dianjurkan oleh The Tournament dan mereka juga turut mempunyai cabang sukan lain iaitu The Basketball Tournament (TBT).

Untuk TST kali ini, terdapat beberapa pemain terkenal yang menyertai kejohanan ini seperti Cesc Farbregas (Como 1907), Clint Dempsey (Team Dempsey) dan Kevin Grosskreutz (Borussia Dortmund).