Pemain pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco menegaskan beliau tidak pernah sesekali menyesal menyertai juara Piala Malaysia 2021 itu.

Menerusi laman media sosial, ada individu yang mengatakan dia merasa kasihan kepada Giancarlo kerana sebelum ini pernah berlatih dengan kelab seperti Tottenham Hotspur namun kini pasukannya tiada padang latihan yang sesuai.

Giancarlo Gallifuoco membalas kenyataan tersebut dengan menegaskan beliau tidak menyesal menyertai pasukan seperti KL City.

“Saya akan beraksi di sini, bersama pemain yang ada, sepanjang hari, bila-bila masa,” katanya.

Sebelum ini, timbul isu dimana KL City tidak mempunyai padang latihan yang rasmi dan pasukan itu terpaksa berpindah-randah dengan berlatih di beberapa tempat, antaranya di padang awam.

Rakan sepasukan Giancarlo, Akram Mahinan menyatakan beliau sebagai pemain berasa malu kerana pasukan yang sebelumnya juara Piala Malaysia 2021 selain finalis Piala AFC 2022 tidak mempunyai padang latihan sesuai.

“Kenapa tempat latihan macam ni? Selalu berubah. Kita berasa segan ketika ada yang bertanya soalan sebegitu.

“Ada yang berkata Liga Malaysia membawa pemain terbaik. Tetapi padang latihan seperti ini. Itulah realitinya,” kata Akram.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard menegaskan isu ini tidak dapat dielakkan kerana pasukannya memang tidak mempunyai pusat latihan yang rasmi.

“Saya dah usaha sebaik mungkin mencari di mana-mana sahaja tempat latihan sesuai buat sebuah pasukan profesional yang dah wujud sejak 1974 lagi.

“Saya dah pergi ke merata-rata mencari padang seperti di PKNS dan padang-padang lain semuanya tak dapat untuk memberi kami menggunakan untuk tempoh yang panjang.

“Jadi apa yang kami mampu buat?. Kami sebuah pasukan yang penuh dengan sejarah dan hampir memenangi Piala AFC, tapi ini saja yang kami ada,” katanya.