Pasukan Uruguay berjaya mencatat kemenangan ke atas Ghana dengan keputusan 2-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan H temasya Piala Dunia 2022 namun kemenangan tersebut tidak membawa sebarang makna bagi wakil Amerika Selatan itu.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi untuk mencatat kemenangan bagi menghidupkan semula peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

Ghana memperoleh peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah Andre Ayew dijatuhkan oleh Sergio Rochet.

Ayew mengambil sendiri sepakan penalti tersebut namun Rochet tampil cemerlang apabila menyelamatkan sepakan Ayew dan memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Uruguay kemudiannya membuka tirai jaringan menerusi Giorgian de Arrascaeta pada minit ke-26 dimana beliau menanduk masuk bola selepas cubaan Luis Suarez diselamatkan oleh penjaga gol Ghana, Lawrence Ati-Zigi.

De Arrascaeta kemudiannya menjaringkan gol kedua pada minit ke-32 dimana beliau melakukan sepakan volley yang gagal diselamatkan oleh Zigi. Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-0.

Memasuki separuh masa kedua, Ghana menggandakan asakan ke kubu Uruguay dimana mereka mahu mencari dua gol bagi menyamakan kedudukan sekaligus mencari tempat ke pusingan 16 pasukan terakhir.

Namun, barisan pertahanan Uruguay menampilkan disiplin yang tinggi dimana mereka berjaya menyerap segala asakan yang diberikan oleh pihak lawan dan keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Akan tetapi, kemenangan Uruguay hanya sia-sia dimana Korea Selatan berjaya bangkit daripada ketinggalan ketika bertemu Portugal dimana wakil Asia itu mencatat kemenangan 2-1.

Hwang Hee-Chan muncul wira selepas merembat masuk gol kedua menerusi serangan balas pada minit akhir perlawanan sekaligus menceriakan penyokong Korea Selatan yang berada di stadium tersebut.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh Portugal ketika separuh masa kedua tetapi kekalahan ini tidak menjejaskan kemaraan mereka ke pusingan 16 kerana sudah mengesahkan lebih awal selaku juara kumpulan H dengan 6 mata.