Skuad Malaysia bawah 15 tahun (B-15) melakukan kejutan terbesar dalam kejohanan jemputan antarabangsa di Haikou City, China selepas menewaskan pasukan gergasi Asia, Iran 2-0 semalam.

Pasukan yang dikendalikan oleh P. Maniam itu menjaringkan dua gol di separuh masa kedua melalui Aliff Izwan Yuslan pada minit ke 65 dan Daniel Edzuan Anuar pada minit ke 85. Ia adalah kemenangan pertama Malaysia dalam kejohanan tersebut yang turut disertai oleh China dan Korea Utara.

D_w6rlSUIAAp2Ng
FOTO: NEWS.CN

Kejohanan itu merupakan perlawanan pemanas badan sebagai persiapan bagi menghadapi Kejohanan AFF B-15 yang akan bermula pada 24 Julai hingga 10 Ogos 2019 di Institut Pendidikan Fizikal, Chonburi, Thailand.

Selepas ini, mereka dijadualkan bertemu tuan rumah, China B-15 pada hari esok, 20 Julai 2019 sebelum bertemu Korea Utara B-15 pada hari Isnin, 22 Julai 2019.

CFA U15 vocket-01

Kemudian, skuad B-15 kebangsaan akan terus berlepas ke Chonburi, Thailand untuk kempen Kejuaraan B-15 AFF 2019, di mana mereka telah diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Thailand, Laos, Kemboja, Brunei DS dan Australia.

Selain itu, anak buah P. Maniam turut akan menghadapi kelayakan kejuaraan AFC b-16 2020 pada bulan September ini dimana mereka diundi dalam Kumpulan J dan akan bertemu Kemboja (18 September 2019), Laos (20 September 2019) dan Jepun (22 September 2019) serta Laos yang merupakan tuan rumah bagi kumpulan tersebut.