Pengurus baharu Aston Villa, Steven Gerrard mengakui cabaran hebat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) membuatkan beliau bersetuju untuk membimbing kelab tangga ke-16 tersebut.

Pengendali berusia 41 tahun itu membuktikan kemampuannya sebagai pengurus apabila membantu Rangers menjuarai Scottish Premiership 2020/21 yang sekali gus memecah monopoli seteru ketat dari Glasgow, Celtic.

Malah, skuad kendalian Gerrard itu juga berjaya mencatatkan rekod tanpa kalah sepanjang musim dalam kempen liga tersebut selepas mencatatkan 32 kemenangan dan enam keputusan seri.

Musim 2021/22 juga memperlihatkan Rangers berada di tangga teratas dengan kelebihan empat mata berbanding Celtic, namun Gerrard akhirnya memilih untuk merasai pengalaman sebagai pengurus di EPL.

“Bagi saya, ia adalah berkaitan dengan bermula dari awal dan meletakkan blok pada tempatnya. Benar-benar belajar daripada awal, pergi ke tempat yang jauh dari kamera, membimbing pemain remaja di Liverpool, mereka sentiasa menjadi pendukung terbesar buat saya.”

“Mereka memberikan saya beberapa tahun peluang di lapangan yang sebenar, untuk selesa menyediakan sesi, menyampaikan sesi latihan dan memimpin pasukan,” ujar Gerrard menurut laporan Goal.

“Dan kemudiannya peluang membimbing Rangers telah datang, dimana sebuah pasukan yang besar, sekali lagi, pasukan yang cukup ikonik.”

“Dan bagi saya, saya sukakan cabaran, saya juga suka kepada risiko dan ia sesuatu yang saya sangat nantikannya.”

“Saya merasakan kelab ini cukup sesuai dengan saya kerana saya tahu para penyokongnya cukup bersemangat. Saya tahu ada permintaan tinggi dan tekanan di sini untuk mencatatkan kemenangan. Itu adalah sesuatu yang saya hadapi sejak saya berusia 17-18 tahun.”

“Jadi, bagi saya, ia adalah berkaitan membuatkan semua orang bersatu dan saya percaya kami mampu melakukan perkara yang menggembirakan bersama-sama,” tambah Steven Gerrard lagi.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

Glazer Umum Skim Saham Penyokong

Ronaldo Bengang Dengan Taktikal ‘Play Safe’ Fernando Santos

Teknologi VAR Tidak Akan Digunakan Dalam Piala Suzuki AFF 2020