Selepas saingan Liga Malaysia dihentikan seketika bagi memberi ruang untuk aksi bola sepak antarabangsa tidak lama lagi, rasanya tidak salah untuk kita sebagai penyokong bola sepak tempatan untuk melihat kembali apakah gelembung sukan atau sports bubble yang sedang dilaksanakan.

Sementara menantikan aksi skuad kebangsaan yang juga menggunakan mekanisme yang sama, teruskan membaca untuk lebih jelas berkenaan konsep gelembung sukan yang perlu dihormati oleh semua pihak yang terlibat seperti dibawah.

Nota: Liga Super bakal bersambung kembali pada 9 Julai dan Liga Premier pada 18 Jun 2021.

Apakah ‘Camp-Quarantine’ dan ‘Home-Quarantine’ Dalam Bola Sepak Kita?

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Belia & Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican pada 9 Febuari 2021, fasa pertama kelonggaran sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan untuk pasukan-pasukan dalam Liga Bola sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL).

Kebenaran ini memerlukan tempat latihan dan pergerakan atlet/pemain yang terkawal mengikut model gelembung sukan (sports bubble). Penginapan atlet atau pemain juga perlu mengikut SOP ‘Camp-Quarantine’ dan ‘Home-Quarantine’ yang telah ditetapkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, mekanisme ‘Camp Quarantine’ bermaksud menempatkan pemain dan pegawai dalam satu tempat sepenuh masa dan mereka akan menjalani ujian calitan di venue berkenaan.

Pemain-pemain akan menjalani rutin latihan mereka bersama pasukan, makan serta travel ke venue perlawanan ditempat lawan dalam kumpulan yang sama.

Sebuah kelab yang benar-benar profesional pada kebiasaanya memiliki fasiliti seperti kafetaria dimana pemain-pemain akan bersama-sama menikmati makanan yang disediakan khusus untuk mereka selepas tamat sesi latihan.

Jika diperhatikan tidak semua pasukan memiliki fasiliti seperti ini dan contoh paling ketara adalah kafetaria yang dimiliki oleh pasukan JDT.

Sementara ‘Home Quarantine’ pula menumpukan pemain serta seluruh isi keluarga wajib menjalani ujian calitan selain SOP lebih ketat.

Ini adalah perkara pertama yang perlu kita faham mengenai gelembung sukan atau sports bubble.

Berapa Kerap ‘Testing’ Dilakukan Oleh Pasukan Sebenarnya?

Kesemua pasukan diwajibkan menjalani Ujian RTK Antigen sebelum atau pada hari perlawanan pertama setelah tamat tempoh rehat.

MFL mewajibkan kepada semua pasukan untuk menjalani ujian RTK Antigen sebelum atau pada hari perlawanan sebagai satu langkah untuk mengesan mana-mana pemain yang telah dijangkiti oleh virus.

Difahamkan juga, kelab seperti JDT melakukan inisiatif sendiri dengan mengadakan ujian terhadap semua pemain mereka beberapa hari selepas perlawanan tamat jika tiada perlawanan dijadualkan dalam tempoh 7 hingga 8 hari berikutnya.

Lampu Hijau Untuk Saingan Liga Malaysia 2021 Diteruskan.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan semalam, saingan Liga Malaysia telah diberikan kepercayaan tinggi dari kerajaan untuk diteruskan.

“Apa yang pasti pegawai dan pemain pasukan hendaklah menjalani Ujian Calitan PCR sebelum mengadakan latihan pertama selepas tempoh rehat iaitu perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Saya menyeru kepada kesemua yang terlibat dalam industri bola sepak agar sentiasa kekal berdisiplin mematuhi SOP-SOP yang telah ditetapkan.

“Liga Malaysia telah diberikan kepercayaan tinggi daripada pihak kerajaan untuk diteruskan sebagaimana kita telah memastikan Liga Malaysia musim 2021 bebas daripada sebarang kluster COVID-19.”

“Justeru saya berharap pasukan akan terus teguh menjaga kepentingan gelembung sukan ini daripada sebarang insiden yang tidak diingini,” ujarnya.

Ini bermakna latihan penuh berpasukan dibenarkan sepanjang tempoh PKP berlangsung.

Kenapa Bola Sepak Dibenarkan Terus Berlangsung?

Jika diperhatikan dari perkara-perkara yang dinyatakan diatas, tahap kekerapan ujian yang dilaksanakan keatas pemain-pemain membolehkan proses pemantauan dan pengesanan jangkitan dapat diteliti dengan lebih tepat.

Ujian Calitan PCR serta Ujian RTK Antigen dilihat berjaya memacu industri bola sepak profesional Malaysia untuk dilangsungkan dan setakat ini masih tiada sebarang kluster bola sepak direkodkan.

Keberkesanan proses ini berpunca dari pematuhan SOP yang dilakukan oleh semua pasukan terlibat dan ia perlu diteruskan untuk survival bola sepak tempatan khususnya.

Kelangsungan Ekonomi Dalam Industri Bola Sepak

Walaupun wujud beberapa pendapat mengenai istilah ekonomi sebenar dalam bola sepak di Malaysia, kita juga sebenarnya perlu sekurang-kurangnya cuba untuk menjaga apa yang ada pada ketika ini demi kelangsungan sukan bola sepak.

Berdasarkan budget setiap pasukan yang bernilai jutaan ringgit itu, ada pihak yang mahu melihat pulangan dari apa yang mereka keluarkan kepada sukan bola sepak ini.

Dengan adanya siaran langsung diplatform unifi samada secara online atau TV, banyak membantu pasukan dalam keadaan semasa untuk cuba meneruskan survival dan dalam masa yang sama ada penaja yang memerlukan platform seperti ini untuk mencari ROI yang diperlukan.

Jika diteliti, banyak pekerjaan yang berkait secara langsung atau tidak akan terjejas kerana bergantung kepada status penganjuran liga itu sendiri.

Dalam keadaan ekonomi semasa, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan kehilangan pekerjaan mampu diminimakan dan industri bola sepak tempatan juga tidak terkecuali daripadanya.

Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah.

Menteri Sukan Maldives ‘Halau’ Bengaluru FC Apabila Pegawai Dan Pemain Gagal Patuhi SOP Gelembung Sukan

Tan Cheng Hoe Percaya Pemain Dipanggil Adalah Barisan Terbaik

MFL Mahu Semua Pasukan Terus Patuhi SOP Gelembung Sukan