Kemenangan 3-2 ke atas PKNS FC di Stadium Darul Makmur semalam mencerahkan peluang skuad Tok Gajah untuk merebut gelaran naib juara Liga Super musim ini apabila mengumpulkan 36 mata selepas mengharungi 19 perlawanan.

Pahang juga kini dibezakan 4 mata dengan Melaka United di tangga ketiga dan 5 mata dengan Kedah di tangga keempat. Bagaimanapun, keputusan perlawanan Perak menentang Selangor malam ini akan menentukan nasib mereka dalam baki perlawanan yang seterusnya.

Jika Selangor tewas malam ini, Pahang perlu mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan menentang Terengganu FC pada hari jumaat ini untuk mengesahkan tempat sebagai naib juara Liga Super 2019.

Dalam perlawanan semalam, semua jaringan Pahang disumbangkan oleh pemain pertahanan kerana jentera serangan mereka jelas tidak berfungsi selepas ketiadaan Dickson Nwakaeme yang dilanda kecederaan.

Hal ini turut diakui sendiri oleh penolong jurulatih skuad tok gajah, Ahmad Shaharuddin Rosdi yang menyifatkan pasukannya tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada jentera serangan dan tengah.

“Bagi saya, tiga gol disumbangkan tiga pemain pertahanan banyak membantu mengatasi masalah ketumpulan yang dihadapi Pahang ketika ini.

“Kecederaan (Dickson) Nwakaeme ketika ini juga banyak memberi kesan kepada bahagian serangan, tapi secara keseluruhannya, saya bangga dengan semua pemain terutamanya pemain pertahanan yang turut memiliki kelebihan menghasilkan gol.

“Bagi perlawanan selepas ini, saya harap kami boleh berpesta gol jika semua pemain bekerjasama dan tidak terlalu bergantung kepada penyerang,” katanya dalam Arena Metro.

66638457_2434109146649765_4958236973807435776_n

FOTO: Pahang FA

Dalam perlawanan itu, jaringan daripada kapten pasukan, Matthew Davies seminit sebelum tamat perlawanan membantu skuad Tok Gajah mengutip tiga mata selepas PKNS FC berjaya menyamakan kedudukan kepada 2-2.

Namun Pahang terlebih dahulu membuka akaun jaringan melalui pemain pertahanan import, Herold Goulon hasil tandukan jarak dekat pada minit ke-30. Tiga minit sebelum berakhir separuh masa pertama, Muslim Ahmad yang juga pemain pertahanan menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah.

Bersambung babak kedua, PKNS yang jarang memberi ancaman ke kubu tuan rumah merapatkan jurang menerusi sentuhan penyerang import, Kpah Sherman pada minit ke-60. Lima minit kemudian, pemain gantian, Gabriel Guerra merapatkan kedudukan 2-2 selepas merembat kencang hantaran daripada Romel Morales.

Ketika lawan menjangkakan mampu mencuri satu mata, Davies memastikan tuan rumah mengutip tiga mata untuk meneruskan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group