Skuad Tok Gajah berjaya mengesahkan gelaran naib juara Liga Super dengan lebih awal selepas menewaskan Felda United, 3-1 malam tadi.

Kemenangan itu turut memastikan Pahang mengutip 40 mata serta dibezakan 6 mata dengan pesaing terdekat iaitu Kedah dan Selangor.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah turun dengan misi untuk mengutip satu mata manala Felda United pula memerlukan kemenangan untuk keluar daripada zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan.

FB_IMG_1563423161500
FOTO: Pahang FA

Penyerang import Pahang, Lazarus Kaimbi membuka tirai jaringan apabila menanduk masuk hantaran silang daripada kelincahan Saddil Ramdani pada minit ke-14 sebelum kelebihan itu dipadamkan Chanturu, 13 minit berselang.

Tok Gajah mengekalkan penguasaan, namun asakan yang diterajui Kaimbi sambil dibantu Mohamadou Sumareh belum cukup padu untuk menembusi gawang pelawat yang dikawal Norazlan Razali buat kali kedua.

Sejurus Nwakaeme dimasukkan pada minit ke-68, nasib barisan kendalian Dollah Salleh itu berubah apabila Goulon kembali meletakkan Pahang di depan menerusi tandukan kencang. Ia merupakan jaringan ketujuhnya dalam liga super.

Nwakaeme melepaskan satu rembatan cantik dari dalam kotak penalti untuk mencetak namanya selaku penjaring pada minit ke-87 dan Sumareh turut berpeluang tetapi mensia-siakan sepakan penalti dalam masa kecederaan.

Untuk itu, Felda yang bakal berdepan Kedah dalam aksi terakhir Liga Super, Ahad ini, memerlukan tiga mata penuh bagi mengelak daripada tergelincir ke Liga Perdana musim depan sambil sebuah lagi kelab, PKNP FC, yang di tangga ke-10, berkelebihan daripada segi perbezaan jaringan dengan
Felda.

Satu lagi pasukan tercorot, Kuala Lumpur, bakal berdepan tugas sukar apabila akan berkunjung ke Perak.