Seperti yang diumumkan malam tadi, tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi telah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22).

Kejayaan itu mengulangi pencapaian sama dikecapinya pada musim lalu dalam anugerah yang dianjurkan olen badan pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL).

Menurut Arif, yang berjaya meledak 8 gol dan 16 bantuan jaringan, beliau mahu memberikan penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sentiasa memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya bagi beraksi cemerlang sepanjang musim ini.

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Johor yang sentiasa memberikan peluang berharga kepada pemain-pemain muda seperti saya.”

“Tidak dilupakan kepada ketua jurulatih (Hector Bidoglio) dan pegawai- pegawai JDT yang sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk beraksi dalam kesebelasan utama pada musim ini.”

Kredit Foto: Malaysian Football League

“Bagi keluarga saya, terima kasih kerana mendoakan kejayaan saya serta sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya.

“Tidak dilupakan kepada penyokong-penyokong JDT yang sentiasa datang ke stadium, berikan sokongan kepada kami dan alhamdulillah musim ini kami banyak menang kejohanan di peringkat domestik.”

“Insya Allah tahun depan, saya akan jadi lebih terbaik berbanding musim ini dan harap peminat setia JDT jangan berhenti menyokong kami,” ujar Arif Aiman dalam ucapannya selepas diumumkan sebagai pemenang MVP.

Selain MVP, Arif Aiman juga turut memenangi kategoti penyerang serta pemain muda terbaik dan tersenarai bagi kesebelasan utama pilihan peminat.