Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) raih trofi pertama musim ini apabila dinobatkan sebagai juara Piala Sumbangsih 2021 selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.

Sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula sebagai menandakan pembukaan musim baharu Liga Malaysia, JDT terlebih dahulu melancarkan serangan bertali arus ke kubu KDA sehingga dua kali bola terkena palang.

Peluang terbaik hadir melalui rembatan Safawi Rasid dan Gonzalo Canbrera seawal 15 minit perlawanan namun penjaga KDA, Ifwat Akmal beraksi cemerlang menepis beberapa percubaaan berbahaya.

5 minit kemudian, KDA hampir membuka akaun jaringan pertama namun rembatan Kipre Tchetche hanya mampu singgah palang. Mereka turut memperolehi peluang kedua menerusi Rizal Ghazali.

Pada minit ke 35, JDT akhirnya menjaringkan gol pertama melalui rembatan Safawi Rasid dalam kotak penalti yang mudah menewaskan Ifwat Akmal. Gol tersebut merupakan hadiah terbaik sempena sambutan hari jadinya hari ini.

Jaringan itu turut membangkitkan semangat pemain JDT untuk terus memburu gol kedua. Malah, KDA juga berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke 45 namun percubaan ‘backheel’ Baddrol Bakhtiar gagal menemui sasaran.

Bagaimanapun, keputusan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, KDA membuat pertukaran pertama dengan memasukkan Fazrul Daniel menggantikan Faizat Ghazli.

KDA juga turut berdepan isu kecederaan sehingga memaksa pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak melakukan dua lagi pertukaran dengan memasukkan Shahril Saari dan Amirul Hisyam bagi menggantikan tempat penjaga gol, Ifwat Akmal dan pemain pertahanan, Syazwan Tajudin.

Pada minit ke 68, gawang gol KDA sekali lagi bocor apabila rembatan cantik Natxo Insa dari luar kotak penalti menghasilkan gol kedua untuk JDT selepas bola tersebut terkena kaki Amirul yang gagal ditepis oleh Shahril Saari.

Tersentak dengan jaringan itu, KDA cuba bangkit mengatur gerakan berbahaya ke kubu JDT namun mereka sukar menembusi benteng pertahanan tuan rumah yang diketuai oleh Aidil Zafuan.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan JDT juga merupakan pasukan pertama yang memperolehi 3 mata penuh dalam saingan Liga Super musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Letak Jersi Di Tepi Longkang, Peminat Kecewa Dengan Sistem Jualan Jersi Sri Pahang FC

Penyokong Kuala Lumpur ‘Bengang’ Dengan Pengurusan Pasukan, #TAMKeterehOut Jadi Perhatian

Perak II Semakin Hampir Dapatkan Khidmat Sergio Aguero