Pengendali Johor Darul Ta’zim II, Ervin Boban tidak mahu memikirkan tentang gelaran juara Liga Perdana musim ini sebaliknya mahu terus memberikan fokus terhadap setiap perlawanan yang dihadapi.

JDT II kini menghuni tangga teratas Liga Perdana dengan kelebihan tiga mata di hadapan Sabah selepas menewaskan pasukan Negeri Sembilan dengan keputusan 3-0 pada Jumaat lalu.

“Kami sedar jika kami menang liga, kami tidak akan layak ke Liga Super musim depan. Tetapi, piala itu akan dihadiahkan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak berkorban untuk menjayakan projek bola sepak JDT dan kami akan cuba sedaya upaya bagi menghadiahkan piala berkenaan kepada Baginda.

“Apa pun dalam permainan bola sepak sememangnya tidak dijangka dan kami perlu berusaha untuk mencapai apa yang diinginkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

JDT II setakat ini berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana. Penyerang import, Mohammed Ghaddar menjadi wira pasukan apabila beliau telah menjaringkan 4 gol.

Mohammed Ghaddar
Sumber Gambar: MFL

Pada perlawanan minggu ke-10, JDT II akan bertandang ke Stadium Batu Kawan bagi menghadapi pasukan Pulau Pinang.