Bekas pemain skuad Harimau Muda, Gary Steven Robbat sah menyertai Sabah beberapa minit sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia musim 2022 ditutup.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Sabah terus membuat pengumuman mengenai ketibaan Gary selepas pemain itu menandatangani kontrak.

Pemain yang pernah berlatih bersama kelab Bundesliga, Borussia Dortmund itu beraksi bersama Melaka United pada separuh masa kedua musim 2021 secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sabah berbelanja besar musim ini bagi memperkuatkan pasukan dan salah satu langkah yang diambil ialah mendapatkan pemain yang dulunya pernah beraksi bersama Harimau Muda di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee yang merupakan ketua jurulatih Sabah ketika ini.

Antara pemain baharu Sabah yang dulunya pernah beraksi bersama Harimau Muda ialah Gary Steven Robbat, Khairul Fahmi Che Mat, Nazirul Naim, Irfan Fazail dan Dominic Tan. Khairul dan Irfan pernah membantu pasukan negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 lalu di Indonesia.

Selain membawa masuk bekas bintang Harimau Muda, pengurusan pasukan juga membawa masuk beberapa pemain senior dan pemain muda yang meningkat naik antaranya Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Stuart Wilkin, Azhad Harraz dan Harith Naem.

Melihat kepada pemain baharu yang dibawa masuk, jelas matlamat Sabah musim ini ialah memenangi piala dan peminat menganggap mereka akan menjadi salah satu pencabar dalam saingan Liga Super musim ini.

Apa yang perlu dilakukan ialah pihak pengurusan menjaga kebajikan pemain dan memastikan tiada kelewatan pembayaran gaji bagi memastikan nama-nama besar yang dibawa masuk boleh menampilkan prestasi terbaik.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Menteri Mahu FAM Kaji Punca Skuad Malaysia B-23 Jadi ‘Lauk’ Laos

Jadual Liga Malaysia 2022 Sudah Dikemaskini, Beberapa Perlawanan Akan Bermula Pukul 8.15 Malam

Lim Teong Kim Salahkan FAM Dan MFL Di Atas Kegagalan Skuad B-23 Tahun Negara