Legenda Manchester United, Gary Neville menganggap bekas rakan sepasukannya, Ole Gunnar Solskjaer telah memberikan sumbangan bermakna buat The Red Devils sepanjang membimbing kelab tersebut.

Mendapat tekanan hebat daripada para penyokong susulan aksi terumbang-ambing anak buahnya, khidmat Solskjaer akhirnya sudah tidak lagi diperlukan kelab yang pernah diwakilinya 11 musim itu.

Pemecatannya itu bagaimanapun bukanlah satu perkara yang amat mengejutkan sekiranya melihatkan kepada prestasi hambar Manchester United terutamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada ketika ini sehingga menyebabkan mereka hanya berada di tangga kelapan dengan 17 mata.

Namun, Neville tetap tidak melupakan mengenang sumbangan besar yang telah dicurahkan oleh Solskjaer sepanjang beliau membimbing kelab tersebut bermula 19 Disember 2018 itu.

Tetapi dalam masa yang sama, Neville turut melihat Solskjaer tidak seharusnya mempersoalkan mengapa beliau dipecat daripada tugasannya itu.

“Terima kasih Ole. Anda membuatkan kami berasa bangga. Dua bulan terakhir ini memang amat sukar baginya, tetapi sebelum itu anda telah mengembalikan jiwa ke dalam kelab ini.”

“Dia harus berbangga dengan tugasan yang dia telah lakukan dalam dua atau tiga tahun pertamanya,” ujar Neville menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Kelab ini berada di tempat yang gelap pada akhir era Jose Mourinho dimana beberapa orang pemain telah menjadi ‘tentera upahan’.”

“Sekarang ada beberapa pemain bagus yang menggantikannya di bilik persalinan, mereka hanya belum beraksi di tahap maksimum pada ketika ini.”

“Ole tidak boleh mengeluh [berikutan pemecatannya]. Dia telah diberikan waktu selama tiga tahun dan dibantu ketika jendela perpindahan. Dia akan sangat kecewa dengan fakta bahawa dia tidak mampu memberikan penampilan terbaik pada musim ini.”

“Dia berharap dapat melakukannya dengan lebih, kita semua juga mengharapkan perkara yang sama. Hanya dia dan para pemain yang akan lebih memahami apa yang tidak kena dalam beberapa bulan terakhir ini,” tambah Gary Neville lagi.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

RASMI: Jodoh Ole Gunnar Solskjaer, Manchester United Berakhir

Kehilangan Tiga Pemain, Mino Raiola Akui Kesalahan Sendiri

Sergio Aguero Bakal Umum Persaraan Kerana Masalah Jantung

Sumber