Legenda Manchester United, Gary Neville mengakui skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu masih berada di belakang Liverpool dan Manchester City dalam usaha untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Hanya sekejap dapat merasai nikmat menduduki tangga teratas kempen liga pada 12 Januari lalu, The Red Devils kini di kedudukan kedua apabila ketinggalan tiga mata di belakang City yang masih kekurangan satu perlawanan.

Dua perlawanan terakhir juga menyaksikan penurunan prestasi ditampilkan United apabila mereka tunduk 1-2 di tangan pasukan bawahan, Sheffield United dan terikat tanpa jaringan bertemu Arsenal di Emirates Stadium, kelmarin.

Sehubungan dengan perkembangan tersebut, Neville melihat skuad Manchester United masih belum memiliki mentaliti juara yang diperlukan.

”Saya merasakan ada kekecewaan pada tiga perlawanan, menentang Liverpool, Sheffield United dan Arsenal dimana faktanya mereka hanya meraih dua mata daripada tiga perlawanan tersebut.”

”Mereka [pemain Manchester United] belum memilikinya. Mereka masih belum memiliki mentaliti untuk menjadi pasukan juara,” ujar Neville menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Amat sukar untuk mengubah daripada lapan minggu lalu memikirkan masalah pengurus apabila mereka tewas di tangan RB Leipzig sekali gus tersingkir daripada persaingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), kepada tiba-tiba lapan minggu kemudian untuk mengalihkan pemikiran kepada ‘kami adalah pasukan juara’.”

”Mereka tidak seperti Liverpool. Mereka tidak akan memenangi kejuaraan liga dengan semua pemain yang dimiliki pada ketika ini.”

”Mereka juga tidak seperti Manchester City. Mereka tidak mempunyai pengalaman untuk meniru apa yang telah dilakukan oleh pasukan lawan tersebut,” tambah Gary Neville lagi.

Sekiranya aksi menarik gagal untuk ditampilkan, masalah akan terus menyelubungi kem United kerana mereka perlu untuk berhadapan dengan Southampton dan Everton pada dua perlawanan selepas ini dalam saingan liga.

Baca artikel lain dari kami mengenai Manchester United di sini:

EPL: Bruno Fernandes Yakin Manchester United Mampu Juara Musim Ini

Barisan Penaja Yang Pernah Berada Di Hadapan Jersi Manchester United

EPL: Manchester United Tak Daftar Sergio Romero Dalam Pasukan Utama