Legenda Manchester United, Gary Neville berpendapat skuad Arsenal tidak mempunyai pengalaman luas untuk menyerap tekanan dalam memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu pada ketika ini kelihatan berada di landasan tepat untuk menamatkan kemarau panjang menjulang kejuaraan liga buat kelab tersebut apabila berada lima mata dihadapan Manchester City.

Melihatkan kepada baki 13 aksi yang perlu diharungi, memang bukan tugas mudah juga buat The Gunners kerana Manchester City, Liverpool dan Newcastle United menjadi antara lawan mereka nanti.

Selain itu, Neville yang memenangi lapan kejuaraan EPL bersama Manchester United melihat Manchester City lebih memiliki pengalaman untuk menghadapi situasi genting seperti ini.

“Arsenal dah banyak kali gagal dalam perebutan juara pada penghujung musim. Inilah sebabnya mengapa Manchester City yang akan muncul sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL),” ujar Gary Neville menurut laporan Goal Indonesia.

“Kerana pada 10 perlawanan terakhir, Arsenal akan mula berasa panik, sudah mula mendapat gangguan ‘anxiety’ dan semakin tertekan.”

“Sekiranya Arsenal muncul juara, sudah tentu itu akan menjadi pencapaian yang luar biasa tetapi mereka masih belum berpengalaman seperti Manchester City.”

“Arsenal terlalu beremosi pada situasi yang terlalu awal. Biasanya keraian seperti itu padahal ia baharu separuh jalan bukan perkara yang bagus.”

“Selepas aksi bertemu Aston Villa, saya boleh memahami ia detik yang besar tetapi keraian seperti itu kelihatan terlalu terdesak dan terlalu awal.”

“Mereka meraikannya dengan penuh kegilaan selepas perlawanan. Bagi saya emosi seperti itu adalah sesuatu yang negatif dalam soal perebutan gelaran juara,” tambah Neville lagi.