Gareth Bale mengumumkan persaraan rasminya daripada bola sepak profesional pada usianya baru 33 tahun.

Bale membuat kenyataan rasmi pada Isnin menerusi saluran media sosialnya.

Bermakna, Bale menamatkan karier bola sepak profesionalnya yang cemerlang. Sepanjang kariernya, di peringkat kelab dia bermain untuk Southampton, Tottenham Hotspur, Real Madrid dan yang terakhir LAFC.

Bale turut menjadi salah seorang pemain terbaik dalam sejarah Wales. Ramai percaya bahawa dia adalah eksport terbaik dari kalangan pemain Inggeris yang bermain di luar UK.

Bale menulis: “Selepas memikirkan sedalam dan secara cermat, saya mengumumkan persaraan saya berkuat kuasa serta merta daripada arena antarabangsa dan peringkat kelab.”

“Saya berasa sangat bertuah menyedari impian saya bermain dalam sukan yang saya cintai. Ianya memberikan saya beberapa momen manis dalam hidup.”

“Di kemuncak tertinggi untuk 17 musim, ianya akan sukar untuk diulangi, tak kiralah apa jua lembaran seterusnya buat diri saya.”

Di peringkat kelab, Bale memulakan karier profesionalnya bersama Southampton. Prestasi cemerlangnya di sana membolehkannya menarik minat Spurs dan menyertai kelab itu pada Mei 2007.

Dia menyertai Spurs sebagai pemain bek kiri. Namun kemudian ditukar posisi ke bahagian serangan sebagai pemain sayap.

Sejak itu dia mengukuhkan namanya sebagai salah seorang pemain terbaik pada generasinya.

Dia memenangi banyak anugerah individu ketika di Liga Perdana Inggeris. Dan kemudian memutuskan untuk menyertai Real Madrid pada 2013. Dia setuju dengan kontrak 6 tahun. Ketika itu, Bale dibeli dengan rekod dunia pada masa itu sekitar €100 juta.

Di Real Madrid, Bale memenangi 3 kejuaraan La Liga, 1 Copa Del Rey, 5 trofi Liga Juara Juara Eropah.

Walaupun dia dibekukan oleh Zidane pada satu ketika, namun dia tetap memberikan sumbangan signifikan pada final menentang Liverpool pada 2018. Di mana Real Madrid menang 3-1, salah satu daripada gol malam itu adalah menerusi libasan gunting Bale.

Pada musim 2020/21 dia memutuskan untuk menyertai Spurs secara pinjaman. Kembali semula ke Real Madrid dan meninggalkan kelab itu pada Jun 2022 untuk bermain bersama LAFC di Amerika Syarikat dengan kontrak 12 bulan.

“Untuk membalas jasa semua yang memainkan peranan membantu saya sepanjang perjalanan karier saya, memang agak mustahil.”

“Saya rasa terhutang budi dengan ramai orang yang membantu saya mengubah hidup dan karier saya dengan cara yang saya tak pernah impikan, apabila saya memulakan karier bola sepak saya pada usia 9 tahun.”

“Kepada kelab kelab saya sebelum ini Southampton, Tottenham, Real Madrid dan akhir sekali LAFC, kepada semua pengurus, staf kejurulatihan, staf di belakang tadbir, rakan sepasukan, semua penyokong setia, ejen saya, rakan rakan dan ahli keluarga saya yang luar biasa, kesan yang kamu tinggalkan dalam hidup saya adalah tiada ukurannya.”

Aksi terakhir Bale sebagai pemain bola sepak profesional adalah pada Piala Dunia 2022. Di mana dia meraih kaps ke-111 ketika Wales kalah 3-0 di tangan England. Bale menjaringkan 41 gol untuk negaranya.

Salah satu momen terbaik Bale bersama Wales adalah membantu negara kecilnya itu mara ke separuh akhir Euro 2016. Dan kemudian menamatkan penantian untuk beraksi di pusingan akhir Piala Dunia.

Dia mengetuai negaranya sekali lagi ketika itu, dan kemudian mengumumkan persaraan antarabangsanya sebaik sahaja tamat kempen Piala Dunia 2022.

Selamat bersara buat Gareth Bale dan selamat menikmati perjalanan baharu selepas persaraan daripada bola sepak.