Bekas bintang bola sepak Real Madrid dan Tottenham Hotspur, Gareth Bale kini telah ‘tukar bidang’ kepada sukan Golf apabila mengumumkan akan menyertai acara Pro-Am kejohanan golf Pebble Beach bulan depan.

Bale, yang menggantung butnya awal bulan ini, akan menyertai beberapa selebriti lain di lapangan terkenal California itu dalam pertandingan bersama pemain-pemain golf profesional dunia.

“Sukacita diumumkan saya akan bermain di Pro-Am AT&T Pebble Beach pada awal bulan depan! Ayuh,” kata Bale.

Kejohanan golf di Pebble Beach merupakan salah satu daripada kejohanan jelajah Profesional Golf Dunia(PGA Tour) bermula pada 2 Februari itu. Ia turut akan menampilkan juara Terbuka Amerika Syarikat, Matt Fitzpatrick dan pemain nombor lima dunia, Patrick Cantlay.

Golf adalah sukan yang amat digemari oleh Bale dan telah menjadi hobi tambahan pada musim cuti ketika masih jadi pemain bola sepak profesional.

Beliau mengumumkan persaraan rasminya daripada bola sepak profesional pada usianya baru 33 tahun pada 9 Januari lepas.

Bermakna, Bale menamatkan karier bola sepak profesionalnya yang cemerlang. Sepanjang kariernya, di peringkat kelab dia bermain untuk Southampton, Tottenham Hotspur, Real Madrid dan yang terakhir LAFC.

Bale turut menjadi salah seorang pemain terbaik dalam sejarah Wales. Ramai percaya bahawa dia adalah eksport terbaik dari kalangan pemain Inggeris yang bermain di luar UK.

Di peringkat kelab, Bale memulakan karier profesionalnya bersama Southampton. Prestasi cemerlangnya di sana membolehkannya menarik minat Spurs dan menyertai kelab itu pada Mei 2007.

Dia memenangi banyak anugerah individu ketika di Liga Perdana Inggeris. Dan kemudian memutuskan untuk menyertai Real Madrid pada 2013. Dia setuju dengan kontrak 6 tahun. Ketika itu, Bale dibeli dengan rekod dunia pada masa itu sekitar €100 juta.

Di Real Madrid, Bale memenangi 3 kejuaraan La Liga, 1 Copa Del Rey, 5 trofi Liga Juara Juara Eropah.

Pada musim 2020/21 dia memutuskan untuk menyertai Spurs secara pinjaman. Kembali semula ke Real Madrid dan meninggalkan kelab itu pada Jun 2022 untuk bermain bersama LAFC di Amerika Syarikat dengan kontrak 12 bulan.

Aksi terakhir Bale sebagai pemain bola sepak profesional adalah pada Piala Dunia 2022. Di mana dia meraih kaps ke-111 ketika Wales kalah 3-0 di tangan England. Bale menjaringkan 41 gol untuk negaranya.

Salah satu momen terbaik Bale bersama Wales adalah membantu negara kecilnya itu mara ke separuh akhir Euro 2016. Dan kemudian menamatkan penantian untuk beraksi di pusingan akhir Piala Dunia.

Dia mengetuai negaranya sekali lagi ketika itu, dan kemudian mengumumkan persaraan antarabangsanya sebaik sahaja tamat kempen Piala Dunia 2022.