Ganjaran menarik bakal diterima oleh barisan pemain Perak jika mereka berjaya membawa pulang trofi Piala FA musim ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak mendedahkan bentuk ganjaran yang akan diberikan sebaliknya menegaskan ianya sebagai tanda penghargaan kepada pemain yang telah bekerja keras memastikan Perak mara ke perlawanan akhir.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Sumber Gambar: Perak TBG

Ahmad Faizal menegaskan supaya pemain Perak tidak mudah berputus asa dan perlu memiliki cita-cita untuk meraih lebih banyak kejayaan termasuk di peringkat Asia.

“Saya tidak mahu kita jadi jaguh kampung. Berbangga di sekitar Ipoh, jadi selebriti sebagai pemain bola sepak di Perak namun di pentas antarabangsa kita tidak kemana,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada masa yang sama, Faizal menyatakan PAFA akan mula menjual tiket perlawanan akhir pada Selasa ini.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Sumber Gambar: Perak TBG

Katanya, Perak diberi sebanyak 30,000 tiket yang berharga RM50 bagi dewasa dan 750 lagi untuk kanak-kanak berharga RM5.

“Daripada jumlah itu, 15,000 akan dijual di Stadium Perak manakala 12,000 lagi akan dijual di tujuh kawasan yang ditetapkan sementara baki 3,000 diperuntukkan kepada penaja dan jabatan kerajaan.

Tujuh tempat jualan tiket yang ditetapkan adalah di Kerian (Stadium Sintetik Parit Buntar), Kampung Gajah (Pejabat Kemas Kampung Gajah), Teluk Intan (Kaunter Pandu lalu Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Tanjung Malim (Pejabat Daerah Tanjung Malim), Lenggong (Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong), Kuala Kangsar (Dewan Jubilee Perak) dan Manjung (Stadium Manjung).